LENGGONG — Bersempena Bulan Kebangsaan 2024, Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah mengadakan Program Penghayatan Merdeka “Merdeka Ride” disertai oleh 350 orang komuniti di sekitar Felda Lawin Selatan.
Pengerusi SRCC Lenggong, Datuk Iruan Zulkefli menzahirkan rasa terima kasih kepada YBR kerana menganjurkan program yang menarik minat masyarakat setempat dalam menghayati hari kemerdekaan.
Menurutnya dengan tema “Malaysia Madani : Jiwa Merdeka” mampu memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara di kalangan rakyat Malaysia.
“Diharapkan melalui program ini dapat membentuk generasi baru yang bertanggungjawab, komited, prihatin serta mempunyai semangat cintakan negara yang jitu.
“Kerana kemerdekaan yang dikecapi hari ini bukanlah dicapai dengan mudah tetapi melalui kerjasama dan kesepakatan antara satu sama lain yang tidak pernah luntur,” katanya di Majlis Program Penghayatan Merdeka (Merdeka Ride) hari ini.
Beliau turut merasmikan program tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Rekreasi Komuniti Parlimen Lenggong (SRCC Lenggong).
Majlis ini turut dihadiri Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Syaiful Rizal dalam kenyataan hari ini berkata ini merupakan sebahagian daripada inisiatif YBR untuk mendidik dan memupuk semangat patriotik kepada komuniti terutamanya pelajar-pelajar tentang makna dan kepentingan kemerdekaan kepada sesebuah negara.
“Saya amat menyokong program-program sebegini dimana ia secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat perpaduan serta kecintaan terhadap negara Malaysia.
“Ini merupakan komitmen YBR dalam mewujudkan sikap toleransi dan mengamalkan budaya saling hormat-menghormati tidak kira kaum, bangsa dan agama dikalangan masyarakat desa,” katanya.
Menurut Syaiful, Program Penghayatan Merdeka turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mewarna, pertandingan tumbuk sambal belacan, pertandingan moto lambat dan tukar minyak hitam secara percuma kepada komuniti desa.