Tak semua ahli Umno hodoh, bodoh atau kotor – Shahril

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad berasa Umno tetap “jahat” dan perlu ditewaskan, bersainglah dalam gelanggang Pilihan Raya Umum (PRU) nanti dan berilah pilihan kepada rakyat.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan mengingatkan pilihan raya adalah jalan demokrasi yang adil maka tak perlulah sampai mengata seolah-olah semua ahli Umno ini hodoh, bodoh atau kotor.

“Jika Tun (Mahathir) berasa Umno tetap “jahat” dan perlu ditewaskan, Tun bersainglah dalam gelanggang PRU nanti. Berilah pilihan kepada rakyat. Itu hak Tun. Sepertimana hak kami untuk menawarkan diri sebagai parti yang menjanjikan kesetiaan dan kestabilan.

“Tak perlulah sampai mengata seolah-olah semua kami yang jadi ahli UMNO ini hodoh, bodoh atau kotor. Era “My Way or the Highway” mungkin relevan pada era 1980-an dan 1990-an. Zaman dah beredar,” bidas Shahril.

Semalam, Mahathir mendakwa Umno sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total – dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi.

Beliau berkata, pucuk pimpinan Umno sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbillion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur Umno itu sendiri.

“Rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu,” katanya.

Menurut Shahril, bebenang dan kenyataan panjang Mahathir mencemuh Umno adalah mengecewakan tetapi tidak juga mengejutkan.

Kerana katanya pendedahan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Mahathir pernah memohon Umno dibubarkan, menyerlahkan tahap kebencian beliau bukan lagi terhadap mana-mana individu dalam Umno, malah terhadap Umno itu sendiri.

“Yakni terhadap akar umbi dan berjuta ahli yang tiada dosa terhadap Tun.

“Jadi ini bukan lagi tentang mana-mana Presiden atau bekas Presiden atau mana-mana pemimpin Umno. Sedangkan waktu Tun berkuasa dan Umno masih belum bangkit pada awal era Pakatan Harapan (PH), Tun masih hendak usahakan agar Umno itu hapus. Tetapi hasrat itu tak kesampaian kerana istiqamah pemimpin dan ahli.

“Saya sebagai anakanda tetap akan cuba menjaga lidah dan tutur bila bercakap tentang Tun Mahathir. Saya membesar era beliau. Beliaulah Perdana Menteri pertama yang saya kenali. Dari lahir sehingga tamat sekolah, dialah Perdana Menteri (PM).

“Meskipun ada dasar dan pendekatan yang saya kurang bersetuju termasuk sewaktu 22 tahun, saya tak nafikan beliau ada jasa kepada negara ini. Baik buruk, pasang surut, beliau antara PM yang paling meninggalkan kesan kepada Malaysia. Saya tak akan nafikan itu,” ujarnya.

Tetapi katanya ini tak bermaksud Mahathir boleh cuba bubar kemudian cemuh parti Umno sesedap rasa tanpa kami membalas.

” Saya faham Tun terkenal dengan lidah tajamnya baik di pentas tempatan atau antarabangsa.

” Tetapi harapan saya, selepas ini simpanlah sedikit kekasaran itu supaya tidak ditujukan sepenuhnya kepada institusi yang mana Tun pernah menjadi pemimpin dan ahlinya walaupun keluar masuk keluar masuk. Mungkin di sebalik kejayaan hidup Tun, ada juga saham dari institusi ini yang menyumbang,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat