Zarul bantu rakan diberhentikan kerja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan nasib rakan dalam industri penerbangan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, vokalis kumpulan Umbrella, Zarul Husin, 47, menghulurkan bantuan mengikut kemampuan.

Zarul yang juga bekas pramugara menggunakan laman sosial Instagram dan YouTube bagi mempromosikan perniagaan rakan-rakan.

“Saya berjumpa dua pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan selepas hilang kerja. Saya merakamkannya dalam kandungan YouTube.

“Mahu membantu daripada segi kewangan, saya kurang mampu. Jadi, saya tolong mempromosikan perniagaan mereka. Saya berjumpa mereka untuk memberi semangat.

 

 

Zarul berkongsi foto kenangan ketika bertugas sebagai pramugari bersama Malaysia Airlines di IG. Foto IG Zarul Husin
Zarul berkongsi foto kenangan ketika bertugas sebagai pramugari bersama Malaysia Airlines di IG. Foto IG Zarul Husin

 

“Saya juga membeli barang jualan mereka. Diharapkan dengan promosi dan sokongan ini, saya boleh menambah jualan mereka,” katanya kepada BH Online.

Zarul atau nama penuhnya, Zairulkefli Husin meletak jawatan sebagai pramugara Malaysia Airlines untuk memberi fokus kepada kerjaya dalam bidang nyanyian pada akhir 2016.

Bekas peserta musim ketiga program realiti, Gegar Vaganza (GV3) itu berkata, musibah yang menimpa rakan-rakan bukanlah mudah dilalui. Apatah lagi, mereka mempunyai komitmen besar untuk ditanggung.

“Memang industri penerbangan menjadi antara sektor yang paling terkesan berikutan penularan COVID-19. Ada rakan yang bekerja sebagai pramugari hampir seminggu menangis selepas diberhentikan.

“Tidak dapat dibayangkan kesedihan mereka apabila hilang punca pendapatan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka tidak ada pendapatan, biarpun gaji pokok.

“Saya juga mendapat tahu suami, Fiza Halim yang juga juruterbang, mengusahakan perniagaan sambal. Ramai antara mereka memilih perniagaan untuk menampung kehidupan,” katanya.

Zarul tidak menolak kemungkinan ramai lagi akan terkesan akibat pandemik COVID-19 dan berharap orang ramai membantu menyokong perniagaan diusahakan mereka.

Ditemui pada majlis pelancaran single Umbrella berjudul Hilang di ibu negara, baru-baru ini, Zarul teruja selepas hampir sedekad, mereka tampil dengan buah tangan baharu.

“Kali terakhir kami menghasilkan single adalah lagu Sayang Bersebab ciptaan komposer Saari Amri pada 2011. Selepas lebih 10 tahun tidak merakamkan lagu baharu, kami gembira diberi peluang untuk tampil semula.

“Jika diikutkan, kami merancang menghasilkan single selepas dua tahun saya meninggalkan program GV3, tetapi rezeki datang sekarang. Alhamdulillah, single baharu sesuai dengan kami, jadi mengapa tidak kembali bersama Umbrella.

“Jujurnya, kami berempat bangga dapat mengekalkan Umbrella hingga hari ini,” katanya.

Masih mengekalkan irama 1990-an biarpun dihasilkan komposer muda, Shouk Azis, Bidin Alzaifa, Zabbe Zharin dan Riff, Zarul tidak menafikan penghasilan single Hilang untuk bersaing dengan penyanyi baharu.

“Melihat trend penyanyi muda mendapat sambutan hebat dalam media sosial dengan lagu genre 1990-an, kami yakin single Hilang mampu bersaing dengan lagu balada lain.

“Lagipun, komposer single ini pernah menghasilkan lagu Achey berjudul Sakit yang ‘trending’. Kami percaya pertaruhan Umbrella dengan single Hilang ini boleh mengulangi kejayaan lagu Ramalanku Benar Belaka yang pernah menjadi fenonema,” katanya.

Single Hilang sudah dilancarkan di semua platform digital sejak 26 Ogos lalu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat