Mahkamah Rayuan tangguh prosiding rayuan Musa Aman esok

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Isnin menangguhkan prosiding rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menetapkan prosiding berkenaan disambung Selasa (8 September) pada pukul 12 tengah hari.

Panel yang turut disertai Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian menetapkan tarikh berkenaan susulan mendengar hujahan daripada peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN Sabah serta Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh yang mewakili Juhar.

Prosiding pada Selasa akan menyambung hujahan daripada peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Mahkamah kemudiannya akan mendengar hujahan daripada peguam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Suzana Atan dan hujahan balas daripada Firoz Hussein.

Pada 21 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menolak permohonan 33 ADUN berkenaan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 30 Julai.

Shim menetapkan bahawa responden kedua dalam kes itu, Mohd Shafie telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama, Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan DUN.

Menurutnya, pengisytiharan pembubaran DUN itu juga adalah mengikut Perlembagaan dan sah.

Susulan pembubaran DUN, SPR menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon dan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat