Gubah cinta ketika PKP

- Advertisement -

PERNAH menganggotai Phyne Ballerz pada 2001, nama penyanyi Billy pastinya tidak asing dalam kalangan peminat kumpulan yang popular dengan lagu saduran berjudul Vida itu.

Malah, kumpulan itu juga turut dikenali peminat dengan lagu Jangan Pisahkan dan Hasrat. Namun, Phyne Ballerz kini tinggal nama dan menjadi kenangan.

Apapun, perjuangan seni Billy tidak pernah terhenti. Ia berikutan pada 2005, dia berganding dengan seorang rakan dalam Phyne Ballerz iaitu Nine membentuk kumpulan duo, BillyZulkarnain yang pernah muncul dengan lagu Hati Terluka serta bertanding dalam Gegar Vaganza 5 (GV5) pada 2018.

Walaupun mara hingga ke pentas akhir GV5, mereka akhirnya membuat keputusan membubarkan BillyZulkarnain untuk memberi fokus pada perjuangan solo.

Justeru, Billy kekal memilih bertahan dalam perjuangan muzik walaupun Nine kini sudah berani mencuba nasib sebagai pelakon drama.

Apapun, baru-baru ini, Billy atau nama sebenarnya Sheikh Ahmad Rabily Sheikh Abdul Rahman tampil melancarkan lagu solo pertama berjudul Cinta.

Mengulas mengenai lagu itu, Billy berkata, dia memilih genre pop balada untuk sentuhan lagu solo pertama itu yang diakui dekat dengan jiwanya.

“Lagu Cinta ini hasil ciptaan saya sendiri yang melodi dan liriknya cukup membuai perasaan. Apatah lagi, jalan ceritanya berkisarkan perasaan cinta.

“Saya sebenarnya ambil langkah berani dengan mempertaruhkan karya sendiri pada percubaan sulung sebagai penyanyi solo. Bagi saya, kena cuba dahulu.

“Bagaimanapun, ilham lagu Cinta ini saya peroleh ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu,” katanya.

Menurut Billy, ilham itu muncul tanpa diduga ketika dia sibuk bekerja dari rumah.

Katanya, enggan menepis rezeki itu, dia teruskan berkarya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan terciptanya lagu Cinta. Hasil karya sendiri yang bagi saya memiliki nilai sentimental yang tinggi.

“Berbekalkan pengalaman dimiliki dan keberanian diri yang nekad, saya enggan mengalah dan ingin terus mencuba. Bagi saya, peluang masih ada. Apabila ada kehendak dan ditambah dengan pengalaman lebih dua dekad bergelar penyanyi, ia pencapaian tersendiri yang saya rasakan amat bermakna secara peribadi.

“Lebih rasa beruntung lagi bila ada beberapa pasukan pemuzik profesional turut membantu dalam usaha ‘menyedapkan’ lagu ini yang kena dengan jiwa,” katanya.

Billy yang bernaung di bawah syarikat sendiri iaitu Trovato KL Entertainment (TKL) berkata, dia teruja dan bersyukur dapat bekerjasama dengan Indigital Music.

Lagu Cinta dendangan Billy sudah dilancarkan secara rasmi melalui semua platform digital pada 28 Ogos lalu, manakala video muziknya dimuat naik di saluran YouTube pada 3 September.

Mengharapkan karya lagu Cinta mendapat sambutan baik pendengar, Billy berkata, dia akan giat membuat aktiviti promosi dan publisiti untuk lagu itu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat