PHNOM PENH – Ratusan ribu pekerja migran Kemboja telah pulang dari Thailand susulan pertempuran berdarah di sempadan antara dua negara berjiran itu, kata seorang pegawai Kementerian Buruh kepada AFP, semalam.
Kemboja dan Thailand mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata bermula Selasa minggu lalu, selepas pertempuran selama 5 hari mengorbankan sekurang-kurang 43 nyawa di kedua-dua pihak dalam konflik pertikaian sempadan.
Sejumlah besar pekerja pulang bersama keluarga mereka melalui pos sempadan Ban Laem-Daung yang terletak antara wilayah Chanthaburi di timur Thailand dengan Battambang di Kemboja, semalam.
Kebanyakan mereka sarat membawa pelbagai barangan seperti bagasi, beg galas, bungkusan berat, selimut dan kipas elektrik, ketika berjalan menyeberangi lintasan sempadan itu.
Jurucakap Kementerian Buruh Kemboja, Sun Mesa, berkata lebih 750,000 rakyat negara ini termasuk kanak-kanak, telah pulang sejak pertempuran meletus pada 24 Julai lalu.
Beliau berkata, sejumlah kira-kira 1.2 juta migran Kemboja menetap dan bekerja di Thailand.
Bagaimanapun, tiada pengesahan berasingan mengenai jumlah 750,000 itu. Seorang pegawai imigresen Thailand memberitahu AFP bahawa angka rasmi itu adalah ‘sulit’, namun menyatakan ‘ramai melintas sempadan untuk pulang.’
Sementara itu jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, semalam berkata situasi kekal tenang di sepanjang sempadan Thailand, dan pasukan mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga.



