KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah tegas dengan membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran kandungan video dan tulisan di media sosial yang mengaitkan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, secara tidak bertanggungjawab.
Laporan-laporan tersebut difailkan di Putrajaya atas nasihat Bahagian Undang-Undang kementerian, manakala beberapa lagi dibuat di Sabah oleh guru serta ibu bapa pelajar yang didakwa terlibat berdasarkan penyebaran maklumat peribadi mereka.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, penyebaran maklumat tidak sahih yang mengaitkan pelajar dan guru sekolah itu menimbulkan keresahan dan boleh mengundang risiko keselamatan.
“Bagi menjaga kesejahteraan dan melindungi pelajar serta guru, BUU KPM mengumpul semua berita palsu ini dan membuat laporan polis mengenainya untuk tindakan lanjut termasuk video seorang wanita membuat ulasan kononnya kecederaan dalaman dialami Zara akibat dimasukkan dalam mesin basuh.”
Menurut Fadhlina, kandungan palsu yang tular ini telah mengundang kemarahan awam, seterusnya mendedahkan warga sekolah kepada kemungkinan tindakan luar kawalan daripada pihak tidak bertanggungjawab.
“Bayangkan bagaimana jika kesan hasil sebaran berita palsu ini menyebabkan pelajar atau guru diugut dan dipukul, atau siasatan kelak menunjukkan mereka tidak bersalah, tetapi mereka sudah ‘dihukum’ dengan pelbagai tuduhan palsu,” katanya.
Polis Sabah sebelum ini menyatakan tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dan siasatan awal telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan susulan.
Susulan laporan polis yang difailkan oleh KPM, sebahagian penyebar maklumat palsu dikatakan telah memadamkan kandungan mereka di media sosial.
Fadhlina turut menegaskan bahawa tragedi ini telah memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental pelajar dan guru yang terus berdepan pelbagai dakwaan tidak berasas.
“Orang nampak seperti KPM diam, tetapi sebenarnya kita sentiasa melindungi dan memastikan kesejahteraan pelajar serta warga sekolah terpelihara.”
Dalam proses siasatan, lebih 60 saksi telah ditemu bual, dengan pematuhan penuh terhadap Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kita bantu siasatan terutama dalam proses soal siasat membabitkan 60 saksi daripada sekolah itu yang perlu dibuat mengikut panduan undang-undang dan menepati Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan ke atas pelajar bawah umur akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) KPM yang menekankan kehadiran ibu bapa, guru besar, kaunselor dan wakil PIBG sepanjang proses soal siasat.
“SOP ini diamalkan sejak dulu kerana kita tidak mahu pelajar yang di bawah umur ini tertekan dengan proses siasatan kes jenayah yang dijalankan kerana mereka bukan pesalah.
“Jadi, sesi siasatan tidak boleh diadakan hanya membabitkan pelajar itu seorang diri saja. Polis yang terbabit juga sangat profesional kerana mereka tahu Akta Kanak-Kanak 2001 yang perlu dipatuhi,” katanya lagi.



