KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin dengan kerja keras kerajaan pimpinan PH-BN mampu membentuk kerajaan dengan memenangi 38 kerusi DUN.
Beliau menjangkakan daripada kemenangan 38 daripada 56 kerusi DUN Selangor itu, BN mampu menyumbang 7 daripada 12 kerusi yang ditandingi.
“PH-BN mungkin boleh menang 38 kerusi DUN di Selangor tapi kena kerja keras.
“Kalau BN pula maksima kerusi yang dianggarkan boleh menang ialah 7 daripada 12,” katanya dalam podccast Keluar Sekejap yang dimuat naik pada petang Isnin.
Dalam pada itu Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanya kepada Amirudin adakah beliau yakin akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya PH-BN menang.
“Saya berkeyakinan setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dah umum tiga kali secara umum termasuk dalam perhimpunan pengumuman calon PKR di Shah Alam cuma yang pentingnya kita kena menang lah.
“Pastikan menang dengan majoriti yang selesa atau majoriti mudah paling kurang,” katanya.
Khairy terus mendesak adakah Amirudin yakin beliau tidak akan menerima nasib sama seperti bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Soal Khairy, adakah yakin tidak akan “dihasnikan”, tapi Amirudin tegas beliau tidak berani memberi keyakinan itu.
“Saya tak berani nak cakap, setakat ini saya yakin jinx tu tak merebak.
“Saya yakin setakat ini perbincangannya tapi politik kita kena bersiap sedia walau apa sekali pun keadaan,” ujar calon DUN Sungai Tua itu lagi.
Sementara itu, ditanya adakah Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor rentetan daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Amirudin menegaskan bahawa jawatan itu tidak perlu diwujudkan kerana hanya akan mencetuskan konflik penggantian Menteri Besar.
“Jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor? Tak ada, tak ada niat pun nak wujudkan.
“Tapi apa-apa pun bergantung kepada perkenan dan budi bicara Sultan Selangor.
“Namun ikut pertimbangan logik, jawatan itu tak perlu pun. Sebab nanti Timbalan Menteri Besar itu sentiasa dalam keadaan menggesa nak ganti jawatan Menteri Besar,” ujarnya.
Perkembangan lain, Amirudin menegaskan meskipun Umno-BN ‘bungkus’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, PH nekad tidak akan menyingkirkan rakan kerjasama politik mereka itu atas nama sebuah kestabilan.
“Sudah pasti (tak singkir) atas nama kestabilan saya mahu negara mempunyai pentadbiran yang selari untuk lima tahun lagi.
“Cukuplah cerita bertukar Perdana Menteri dan usaha-usaha menjatuhkan kerajaan setiap tahun, jadi apa hal sekali pun saya percaya bahawa Tok Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan) kata ‘no turning back’.
“Saya rasa ini resipi sekarang untuk kestabilan,” tegas beliau.
Bagaimanapun kata Amirudin, untuk pilihan raya yang akan datang beliau menyatakan mungkin perbincangan lanjut lain perlu dilakukan.
“Untuk PRU akan datang saya rasa ia perlu dibincangkan dengan lebih terperinci.
“Buat masa ini resipi sebuah gabungan harus terima hakikat tidak akan dapat semua.
“Tapi tengok kepada gambaran yang lebih besar iaitu kita kena kekalkan sebab itu saya rasa Kerajaan Pusat dan negeri harus selari demi pemulihan ekonomi, ia perlu,” katanya.