Bantuan BSH RM300 Sebulan Dipanjangkan Untuk Veteran Tak Berpencen Bermula September Ini

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan akan dipanjangkan bagi veteran tidak berpencen pada umur 60 tahun berbanding sebelum ini yang hanya dinikmati pada umur 80 tahun, berkuat kuasa September ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, cadangan pemanjangan BSH bagi veteran tidak berpencen pada umur 60 tahun itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Pemanjangan BSH ini akan memberi faedah kepada seramai 41,970 veteran tidak berpencen dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, yang menurutnya pemanjangan BSH itu adalah kesinambungan keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam dan RM200 kepada pesara kerajaan semasa pembentangan Ekonomi Madani yang akan dibayar Khamis ini (10 Ogos).

Untuk tahun 2023, katanya, penjawat awam juga telah menikmati Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 sejak Januari 2023 serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 dan Bantuan Khas Kewangan 2023 sebanyak RM700 pada awal tahun ini.

Mohd Zuki berkata, JKK-PPA hari ini membincangkan perkara yang melibatkan perkhidmatan awam berkaitan penambahbaikan dan kebajikan anggota penjawat awam terutamanya status kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata, kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam akan melihat secara keseluruhan aspek perkhidmatan penjawat awam meliputi aspek saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

“Untuk permulaan, kajian ini akan memberi penekanan kepada kemampanan saraan penjawat awam bagi memastikan upah, gaji dan elaun adalah setimpal dengan tanggungjawab serta seiring dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Mohd Zuki berkata, sementara kajian itu diteliti, kerajaan komited untuk membuat penambahbaikan termasuk elemen kemudahan elaun untuk dijadikan sebahagian daripada Belanjawan Madani yang akan dibentangkan pada Oktober 2023.

Kali terakhir semakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan adalah pada 2001 dan penambahbaikan gaji tidak dibuat sejak 2013, katanya.

Pada 1 Mei lepas, Anwar semasa Perhimpunan Hari Pekerja 2023. mengumumkan untuk membuat semakan semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat