KUALA LUMPUR- Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan tidak tersenarai dalam senarai baharu individu yang diberikan pengampunan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berdasarkan laman sesawang rasmi Jabatan Kehakiman (DOJ) AS.
Ketiadaan nama Jho Low yang terbabit dalam skandal berbilion dolar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menamatkan spekulasi bahawa dia berkemungkinan menerima pengampunan daripada Trump semasa sambutan Hari Kemerdekaan Ke-250 AS pada 4 Julai lalu.
Jho Low yang menjadi buruan dan lokasi keberadaannya tidak diketahui berdepan pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di AS dan Malaysia, berhubung dakwaan peranannya dalam penyelewengan AS$4.5 bilion (RM18.3 bilion) daripada dana 1MDB.
Minggu lalu, organisasi media AS, The Atlantic melaporkan, Jho Low berkemungkinan antara 250 individu yang dipertimbangkan Trump untuk diberikan pengampunan.
Sementara itu, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan, Jho Low telah mengemukakan permohonan pengampunan pada Mei lalu bagi menggugurkan pertuduhan jenayah yang dihadapi di AS.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kekal berpendirian tegas terhadap Jho Low, walaupun Trump memberikan pengampunan, lapor Utusan pada Selasa.
Anwar berkata, sebarang ketetapan atau keputusan pengampunan di AS adalah urusan negara itu dan kerajaan sentiasa berpaksikan kepada jalur undang-undang.



