Pemandu lori rempuh trafik sesak di Tambak Johor berdepan tindakan tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemandu lori yang merempuh beberapa kenderaan di Tambak Johor, pagi tadi bakal dikenakan tindakan tegas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementeriannya akan melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas berhubung insiden sebuah lori perdagangan berkenaan.

Bahkan Ka Siong berkata, tindakan itu termasuk menggantung permit syarikat serta Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) pemandu lori berkenaan jika didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Kata Ka Siong lagi pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu, sekali gus amat memandang serius kes sedemikian dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak kerana ia membabitkan keselamatan orang ramai.

“Agensi bawah kementerian, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan segera menjalankan siasatan Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

“Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit sekiranya didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan, selepas JPJ melengkapkan audit ICOP.

“Ia termasuk menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, beberapa rakaman video tular dalam media sosial yang menunjukkan kira-kira 10 kenderaan dirempuh ketika trafik sibuk di Tambak Johor.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melakukan siasatan dari aspek teknikal, bagi mencari punca kemalangan itu.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian ketika kemalangan itu berlaku pula diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video sekiranya ada, bagi membantu siasatan.

“Saya amat memandang serius kes seperti ini dan tidak akan berkompromi. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat