CYBERJAYA, – Laporan South China Morning Post (SCMP) bahawa kerajaan Malaysia mengarahkan syarikat telekomunikasi (telko) menyerahkan data peribadi pengguna kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah tidak berasas dan mungkin bertujuan mencetuskan kemarahan rakyat kepada kerajaan.
Menurut seorang penganalisis industri telekomunikasi, adalah mustahil telko akan menyerahkan data peribadi pengguna kepada MCMC tanpa arahan mahkamah seperti mana yang dilaporkan oleh SCMP.
“Laporan SCMP yang memetik sumber tanpa nama adalah sangat meragukan dan menimbulkan syak wasangka mungkin ada agenda lain terhadap kerajaan dan MCMC,” jelas penganalisis terbabit.
Beliau diminta mengulas laporan South China Morning Post (SCMP) yang menggambarkan seolah-olah agensi terbabit menceroboh data peribadi pengguna telefon bimbit.
Sementara itu MCMC dalam kenyataan rasmi menyifatkan laporan tersebut sebagai tidak benar, mengelirukan dan berniat jahat kerana membayangkan berlakunya pencabulan privasi oleh pihak berkuasa, sedangkan pengumpulan data yang dijalankan adalah selamat, teratur dan sepenuhnya mematuhi prinsip perlindungan data peribadi.
MCMC: Data yang diberi oleh telko adalah anonim
MCMC menjelaskan bahawa pengumpulan Mobile Phone Data (MPD) dilakukan semata-mata bagi tujuan penyediaan statistik rasmi negara untuk menyokong perancangan dasar awam, bukan untuk tujuan pemantauan atau pengawasan individu.
Data yang dikumpulkan adalah dalam bentuk yang telah dianonimkan sepenuhnya dan tidak mengandungi sebarang Maklumat Pengenalan Peribadi (PII), menjadikan mustahil untuk mengenal pasti mana-mana individu daripada data tersebut.
[Nota Pengarang: Data anonim bermaksud maklumat yang telah dibuang atau disembunyikan unsur-unsur yang boleh mengaitkan data itu kepada individu tertentu, seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat IP, atau lokasi yang terlalu spesifik]
Menurut MCMC, Telko diberikan dua pilihan sama ada memproses data dalam persekitaran selamat mereka dan menyerahkan data yang telah diagregat dan dianonim kepada MCMC, atau menyerahkan data mentah yang telah dinyahidentiti kepada MCMC untuk diproses. Dalam kedua-dua kes, keselamatan data dan kerahsiaan pengguna terpelihara sepenuhnya.
Statistik Rasmi, Bukan Pemantauan
MPD digunakan untuk menghasilkan indikator seperti kadar penembusan jalur lebar, pola pergerakan pelancong domestik, dan penggunaan internet mengikut daerah dan negeri semuanya bertujuan memperbaiki dasar dan perancangan kerajaan, bukan untuk mengenal pasti individu.
Inisiatif ini telah dibangunkan secara telus bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), dan agensi berkaitan PBB. Sesi libat urus bersama semua syarikat telekomunikasi utama turut diadakan sejak 2023, termasuk Bengkel Kebangsaan MPD pada September 2024.
MCMC menegaskan laporan SCMP telah gagal menggambarkan fakta sebenar dengan tepat dan berpotensi menjejaskan kepercayaan awam terhadap dasar pembangunan berasaskan data yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Inisiatif ini bukan sahaja mematuhi undang-undang sedia ada, malah mengangkat standard antarabangsa dalam perlindungan data pengguna,” kata kenyataan itu.
Laporan SCMP dan Dakwaan yang Ditimbulkan
Laporan SCMP yang diterbitkan pada 6 Jun 2025 melaporkan bahawa kerajaan Malaysia melalui MCMC telah mengarahkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data penggunaan telefon bimbit rakyat, termasuk maklumat panggilan, penggunaan internet, dan lokasi (longitude dan latitude) bagi tempoh Januari hingga Mac 2025.
Menurut laporan itu, arahan tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan syarikat telekomunikasi dan pejuang privasi data, yang mendakwa bahawa skop dan skala permintaan data itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan berpotensi melanggar hak asasi pengguna.
SCMP juga memetik sumber industri yang mendakwa arahan pengumpulan data itu berlaku secara tiba-tiba dan tanpa justifikasi awam yang jelas, serta menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan penyalahgunaan data tersebut untuk tujuan pemantauan atau politik.-SUARA.TV