Umno tetap parti nasionalis Melayu-Islam, tak kendur – Tok Mat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penerokaan jalan politik baharu yang sedang dipacu Umno tidak sedikit pun mengendurkan DNA Umno sebagai parti nasionalis yang memperjuangkan Melayu dan Islam.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Umno mesti meneroka jalan baru ini dengan jalan yang lebih progresif dan kontemporari.

“Namun, ini semua tidak sama sekali bermakna, kita lunak dengan pendirian kita tentang Melayu dan Islam.

“Ingat, DNA UMNO ialah nasionalisme Melayu dan Islam. Ia adalah jati diri yang sama sekali tidak akan kendur. Kita parti nasionalis. Mempertahankan Melayu dan Islam itu, perjuangan kita.

“Kerana itulah juga, kita dipanggil ‘assabiyah’ selama berpuluh-puluh tahun, oleh parti tertentu. Kita dilabel parti kesukuan dan perkauman fanatik. Sekarang, hanya kerana haluan politik kita berbeza, kita difitnah membelakangkan Melayu dan Islam pula.

“Hanya kerana duduk dalam Kerajaan yang di dalamnya ada 19 parti-parti lain, tidak bermakna kita membuang agama dan membuang Melayu. Jawapannya, sama sekali tidak,” tegas beliau.

Menteri Pertahanan itu juga menyatakan, Umno akan memperjuangkan Islam dan Melayu, dalam kerangka ‘hubbul watan’ yang lebih sederhana, dan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia, dengan unit politik dan sosialnya, yang beraneka agama, kaum dan etnik serta budaya.

“Jadi, matikanlah segala keraguan tentang ketegasan pendirian UMNO, untuk bangsa Melayu dan Islam. Kesimpulannya, kita tidak akan mundur ke belakang. Kita akan terus maju ke hadapan.

“Kita pro pembangunan. Kita mencintai perpaduan. Kita memilih kestabilan dan kemakmuran. Umno pro kemajuan. Pro pembaharuan dan pro demokrasi dan kita memilih untuk bekerja dengan mereka demi Malaysia.

“Jadi, tidak timbul soal kita perlu undi parti itu atau parti ini. Kita hanya mengundi dan memilih parti yang memerintah. Parti yang boleh mengurus negara dengan semangat perpaduan dan meneruskan kestabilan politik dan walaupun kita ada pendirian yang berbeza, dan perspektif yang bertentangan, ia tidak akan merencatkan pula kerjasama kita untuk Malaysia yang lebih maju,” ujarnya.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan agar ahli-ahli Umno tidak lagi boleh hidup dalam penafian.

“Kita tewas dalam dua PRU lepas. Kita bukan lagi blok politik Melayu terbesar dalam demokrasi Malaysia. Kesusutan pengaruh Umno di kalangan orang Melayu dan rakyat Malaysia adalah pada tahap kritikal.

“Kedudukan Umno sebagai parti ketiga dalam liga politik Melayu, adalah sesuatu yang sangat janggal kepada kita semua.

“Namun, tiada apa yang harus kita ratapi daripada semua ini. Walhal, kita mungkin secara tidak langsung telah menyumbang kepada kesusutan kepercayaan dan pengaruh Umno ini. Tiada siapa juga yang boleh terkecuali, daripada memikul tanggungjawab bahawa dalam banyak dan kurangnya, kita adalah juga penyebab, mengapa orang Melayu menjauhkan diri dari Umno.

“Banyak sekali orang dalam Umno, yang menyeru untuk kita bangkit. Mengkritik itu dan ini. Sedangkan mereka lupa, Umno kecundang di kala kita juga dahulu sebahagian daripada kerajaan.

“Kita tewas di kala, pemimpin Umno menjadi Perdana Menteri, dan Ahli Parlimen kita menganggotai Jemaah Menteri. Justeru, janganlah kita terus bermain dengan ‘the blame game’. Umno tidak akan bangkit, jika kita terus terperangkap dalam ‘blame game’ ini,” tegasnya.

Mohamad juga menyeru agar sayap-sayap Umno berhenti menagih segala jawatan, segala kontrak, dan segala gelaran. Jangan terpedaya dengan kilauan kuasa dan imbuhan, dek kerana Umno adalah sebahagian dari kerajaan waktu ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat