Umno dah kena hukum teruk dalam dua PRU, jangan terus ‘telanjangkan’ – Mohamad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pimpinan dan ahli Umno didesak supaya tidak terus menelanjangkan Umno setelah begitu dahsyat hukuman terhadap parti Melayu dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan supaya Umno tidak dimusnahkan dengan amarah, dan dendam kesumat hanya kerana cita-cita peribadi kita terkandas.

“Segala sindir menyindir di media umum wajar dihentikan. Perbuatan ini tidak ubah seperti menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri.

“Malam ini, saya mohon kita membelakangkan segala perbezaan. Mengenepikan segala emosi, dan memperbaharui setiakawan kita demi Umno. Demi Malaysia. Demi bangsa Melayu. Ketepikan segala apa jua kemarahan, dendam, luka dan nestapa,” katanya ketika ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2023 di WTCKL pada malam Rabu.

Pesan Menteri Pertahanan itu lagi, jika ada kritikan, meskipun bernas, salurkan melalui medium dalaman.

“Masalah parti, kita selesaikan dengan cara parti. Masakan kita ingin terus menelanjangkan Umno, setelah begitu dahsyat hukuman terhadap UMNO dalam dua PRU lepas.

“Telah tiba masanya kita bergerak seiring ke hadapan, untuk membangunkan semula parti ini. Apatah lagi, di kala ia sedang pulih daripada kecederaan yang sangat parah sebelum ini,” seru beliau.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa, Umno berdepan dengan tiga cabaran penting untuk beberapa tahun mendatang.

Jelas beliau, cabaran pertama ialah keberkesanannya sebagai sebahagian daripada kerajaan dan kedua bagaimana ia akan mengurus kerjasama politiknya, pasca penubuhan Kerajaan Perpaduan serta ketiga, bagaimana untuk mengembalikan semula pengaruhnya, sebagai parti politik Melayu yang paling dominan.

“Mengapa Umno harus menjayakan Kerajaan Perpaduan yang ia anggotai sekarang? Dan menjayakan ia dengan berkesan, insyallah. Saya merasakan kejelasan dalam perkara ini sangat penting. Kerana ada anasir-anasir dalaman, dan luaran parti, yang tugas mereka ialah untuk mengelirukan ahli parti. Saya bertanggungjawab untuk menjelaskannya dengan tegas.

“Pada PRU15 yang lepas, Umno telah tewas untuk kali keduanya, sejak kemerdekaan. Umno tewas secara berturutan untuk kali kedua. Setelah memenangi 13 pilihan raya umum tanpa kalah. Umno hanya memenangi 26 kerusi Parlimen dari 222 kerusi atau 11.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

“Manakala jumlah undi popular BN hanyalah 3.65 juta atau 23 peratus daripada jumlah undi keseluruhan. Ini tidak sampai satu perempat pun dari jumlah undi keseluruhan, sedangkan BN bertanding di 178 kerusi Parlimen.

“Sedangkan Perikatan Nasional (PN) mendapat 4.7 juta undi atau 30 peratus undi popular. Pakatan Harapan (PH) pula mendapat 5.93 juta undi atau 38 peratus daripada jumlah kerusi keseluruhan. Umno hanya mendapat 19 kerusi di Semenanjung dan tujuh di Sabah. Sedangkan, Umno adalah parti terbesar di Malaysia.

“Daripada 5.8 juta pengundi baru dalam PRU15, kita nampaknya gagal mendapat kepercayaan mereka langsung. Tiada peningkatan undi ketara antara jumlah undi BN dalam PRU14 dan PRU15,” ujarnya lagi.

Tambah Mohamad, jumlah undi BN dalam kedua-dua PRU hanya dalam lingkungan 3.5 juta sahaja dan ini bermakna kita telah mencapai tahap ‘plateau’, atau tiada perubahan dan anjakan yang substantif.

“BN tidak menang satu kerusi pun di Perlis, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Melaka. Saya ulang, tiada satu kerusi pun.

“Di Wilayah Persekutuan, kita hanya menang di satu kawasan sahaja. Di Labuan dan Putrajaya, kerusi yang selalunya sangat selamat kepada BN pun kita tewas.

“Kita juga tidak boleh, membentuk Kerajaan di Pahang dan Perak, tanpa kerjasama dengan parti lain. Apa makna semua angka-angka ini? Maknanya kita harus menerima dan hidup dengan kenyataan bahawa kita telah tewas dengan dahsyat,” kata beliau.

Mohamad mengingatkan lagi, kerana itulah, kita tidak boleh mendabik dada. Bercakap dan berhujah dalam penafian.

“Berlagak seolah-olah Umno ini keramat dan tersangat kukuh. Sedangkan, kita ditolak oleh rakyat Malaysia dengan kekalahan yang sangat mengesankan.

“Maka, bersandarkan realiti dan kedudukan, bahawa kita telah tewas, maka kepimpinan Umno telah melakukan ijtihad politik, untuk bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kerana kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi. Dan untuk survival Umno, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

Jadi jelasnya, daripada sebuah parti yang tewas, Umno menjadi pelengkap kepada pembentukan kerajaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat