Isu Kalimah Allah Dibawa Ke MKI Sebelum Majlis Raja-Raja – Sultan Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hasil perbincangan antara Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk membawa isu kalimah Allah ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada bulan Ogos 2023 sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober 2023.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

“Beta telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau mengadap dan menyembah taklimat berhubung dengan keputusan Kerajaan Malaysia yang telah menarik balik rayan dalam kes Jill Ireland lwn Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

“Beta juga disembah maklum berhubung dengan komitmen pihak Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Anwar yang akan merujuk isu ini kepada Majlis Raja-Raja bagi tujuan penetapan dasar berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

“Dalam perbincangan tersebut, Beta selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah menyuarakan pandangan Beta yang juga telah dipersetujui oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

“Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segera oleh pihak Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah Baginda dalam kenyataan pada Rabu.

Sultan Selangor itu juga memaklumkan Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan Baginda untuk membawa isu ini kepada MKI pada bulan Ogos 2023 sebelum ianya diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober 2023.

Justeru, Sultan Sharifuddin juga meyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad tentang perkara ini.

“Ini adalah untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia akan kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara ini.

“Beta juga menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam,” tegas Baginda lagi.

Menurutnya, penyelesaian bagi isu ini hendaklah dibuat dengan berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama selain agama Islam dengan aman.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat