PAS Sedia Terajui Kedah, Mukhriz Mungkin Hilang Jawatan MB Sekali Lagi

- Advertisement -

PETALING JAYA – PAS hari ini mengumumkan kesediaan untuk menerajui kerajaan Kedah, dalam kenyataan yang membayangkan Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir mungkin hilang jawatan menteri besar sekali lagi, ekoran perpecahan dalaman parti komponen Pakatan Harapan.

Pesuruhjaya PAS Kedah berkata tidak sampai separuh daripada 6 Adun PPBM berpihak kepada Mukhriz, “memandangkan banyak kelemahan yang gagal diperbaiki”.

“Adun dalam PPBM Kedah juga dilihat canggung dengan tindakan PPBM Kedah yang masih bekerjasama dengan PH untuk menjadi negeri pembangkang,” kata Ahmad Yahaya dalam kenyataan hari ini, menyifatkan keadaan itu melawan arus kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga presiden mereka.

Sementara itu, PKR selaku komponen utama dalam PH juga berdepan masalah tersendiri, apabila seorang wakil rakyatnya, Robert Ling Kui Ee di media sosial mempertikaikan keputusan parti sendiri memecat ramai kepimpinan bahagian, “memperlihatkan Adun Sidam itu sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan PH Kedah”.

“Bakal ada beberapa Adun PKR lain akan mengikuti langkah beliau dan ia mengurangkan jumlah kerusi penguasaan PH,” kata Ahmad.

Katanya, perkembangan ini menjadikan PH secara dasarnya “tempang” dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan Kedah, sambil mengingatkan PAS memiliki 15 kerusi Dewan Undangan Negeri – jumlah tertinggi dalam kalangan parti di Kedah.

“Perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielakkan lagi. PAS Kedah…bersedia menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini,” tegasnya.

Ahmad bertambah yakin akan kedudukan PAS Kedah kerana ia ada 2 kerusi milik Umno menerusi muafakat nasional kedua parti itu.

Beliau percaya calon menteri besar dalam kalangan Adun PAS ada kredibiliti, melihat kepada pengalaman dan rekod bersih mereka ketika parti Islam itu mentadbir Kedah pada 2008 hingga 2013.

Mukhriz ketika ini mengekalkan pentadbirannya dengan majoriti kecil, bergantung kepada sokongan 7 wakil rakyat PKR, 4 wakil rakyat Amanah, dan 2 wakil rakyat DAP.

Ahmad berkata Mukhriz yang bukan lagi pengerusi PH Kedah hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan Adun daripada PKR kerana PKR dan PPBM tidak lagi sehaluan.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat