JPN tak lulus permohonan sewenang-wenang meski ada surat sokongan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan meluluskan permohonan secara sewenang-wenangnya, walaupun permohonan disertakan dengan surat sokongan daripada mana-mana pihak.

Menurut kenyataan JPN, sebarang surat sokongan, minit cadangan atau permohonan daripada mana- mana pihak, termasuk pemimpin politik, agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO), tidak memberi sebarang jaminan automatik terhadap kelulusan sesuatu permohonan.

“Pertimbangan terhadap pandangan atau sokongan dari pihak berkepentingan boleh diambil kira, namun kelulusan tetap melalui proses tapisan dan verifikasi yang ketat seperti semakan fakta dan dokumen serta siasatan latar belakang pemohon.

“Untuk makluman, MyKAS merupakan dokumen pengenalan diri Pemastautin Sementara yang diberikan kepada individu yang lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.

“Pemegang MyKAS tidak memperoleh sebarang kelebihan kewarganegaraan, sebaliknya perlu memenuhi syarat-syarat ketat sebelum boleh memohon status MyPR (Pemastautin Tetap) dan seterusnya MyKAD (Warganegara), bergantung kepada tempoh permastautinan dan kelayakan yang ditetapkan,” jelas JPN dalam kenyataan pada Isnin.

JPN memberitahu, walau bagaimanapun, bagi
pemegang MyKas yang diluluskan secara bertempoh setiap 5 tahun, mereka masih perlu berusaha mengesan asal usul mereka juga, seperti yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

JPN berkata demikin menjelaskan mengenai isu penularan sekeping surat bertarikh 26 April 2019 yang didakwa mengandungi minit oleh Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, berkenaan sokongan terhadap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada seorang individu dari Semporna.

“JPN ingin menegaskan bahawa setiap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri sama ada MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat kuasa.

“Semua permohonan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990,” kata JPN lagi.

Jelas jabatan itu lagi, pihak mereka sentiasa komited dalam memastikan tadbir urus yang telus dan profesional dalam urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri.

“Sebarang maklumat lanjut dan sahih orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN
atau melayari laman web rasmi dan mengikuti saluran media sosial rasmi JPN,” katanya.

Sebelum ini FMT melaporkan, seorang pemimpin Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menggesa pihak berkuasa menyiasat penularan dua surat rasmi mengandungi arahan bertulis bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyokong permohonan dokumen pengenalan diri.

Surat bertarikh 26 April 2019 dan 9 Okt 2019 terbabit menunjukkan Shafie yang ketika itu mengetuai pentadbiran Sabah meminta permohonan sambungan kad pemastautin sementara (MyKAS) oleh pemohon dari Semporna diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat