KKM Tubuh Jawatankuasa Transplantasi Pantau Pendermaan Organ Atasi Pemerdagangan Organ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa transplantasi ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup dan eksplotasi pemerdagangan organ.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan jawatankuasa itu menyelia penderma membabitkan pasangan bakal penderma-penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan atau pasangan bakal penderma-penerima warga negara.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut akan menilai dengan teliti pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan juga tahap sosioekonomi untuk semua permohonan pembedahan transplantasi.

Ia bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik dan kesejahteraan bakal penderma secara amnya tidak terjejas selepas pembedahan dilakukan.

“Pembentukan tadbir urus perkhidmatan yang kemas adalah sangat penting bagi melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak membabitkan sebarang paksaan ataupun mempunyai unsur pemerdagangan.

“Konsisten dengan kewajipan negara dan antarabangsa, KKM tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terbabit di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika.

“Dalam perkara ini, pihak KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan,” katanya, dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Dr Noor Hisham berkata, Malaysia juga menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism (2008) yang menyatakan organ untuk transplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima yang sesuai tanpa mengenal jantina, etnik, agama, mahupun status sosial atau kewangan.

“Deklarasi ini juga menekankan komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia menyasarkan golongan miskin dan lemah yang menjurus kepada ketidakadilan.

“Oleh itu, sebarang amalan yang menyasarkan individu atau golongan ini sebagai penderma organ adalah dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, pelancongan transplantasi dan komersialisasi transplantasi,” katanya.

Beliau menegaskan, KKM memandang serius sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini kerana ia ekploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.

Katanya, sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti berkaitan penjualan organ hendaklah diambil serius oleh semua pihak dan sekiranya terdapat aktiviti membabitkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007.

“Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti ini, mereka boleh tampil ke KKM atau pihak polis untuk menangani perkara ini.

“Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan badan dan organisasi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran awam serta pendidikan ke arah pendermaan organ beretika.

“Perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi membabitkan pendermaan organ daripada penderma hidup mahupun penderma selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung atau paru-paru.

“Dasar KKM ini jelas dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik),” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Sumber Transplan Nasional (PST) di talian 1800-88-9080 atau emel kepada [email protected]

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat