Oleh Zihan Zari
KAJANG – Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Mohd Hadzmir Yusoff, telah dilantik sebagai Ketua Pengarah LLM yang baharu, berkuat kuasa mulai 11 Feb 2026, umum LLM.
LLM dalam kenyataan berkata pelantikan itu bagi menggantikan Dato’ Ir. Hj. Sazali Harun yang telah bersara wajib.
Katanya, pelantikan ini bertujuan memastikan kesinambungan kepimpinan serta kelangsungan peranan LLM sebagai badan pengawal selia industri lebuhraya bertol negara, selaras dengan agenda reformasi perkhidmatan awam dan aspirasi Malaysia MADANI.
Ir. Mohd Hadzmir, merupakan seorang jurutera profesional yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM ) atau Board Of Engineers Malaysia (BEM).
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini menyertai LLM pada tahun 1993, dan berpengalaman luas lebih 30 tahun dalam perancangan, pembangunan, pengurusan operasi dan lebuh raya.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam memajukan kecemerlangan operasi, kemampanan dan inovasi dalam industri lebuhraya Malaysia, selain aktif menyumbang kepada badan-badan profesional termasuk Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Sistem Pengangkutan Pintar atau Intelligent Transport System (ITS), dan Institusi Lebuh Raya dan Pengangkutan Berkanun (CIHT).
LLM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato’ Ir. Hj. Sazali Harun atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sehingga persaraan.
“Bersempena bulan Ramadan yang mulia, LLM mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga bulan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya serta terus memperkukuh komitmen dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, ”kata kenyataan itu lagi. -SUARA.TV



