TAMBUNAN, – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyeru generasi muda supaya memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta memupuk budaya pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.
Beliau berkata penggunaan plastik yang tidak terkawal serta gaya hidup yang bergantung kepada barangan pakai buang telah menyebabkan sisa plastik menjadi sisa kedua tertinggi di Malaysia selepas sisa makanan.
Menurutnya, isu tersebut bukan lagi sekadar cabaran tempatan tetapi telah berkembang menjadi krisis global yang mengancam ekosistem dan keseimbangan alam sekitar.
“Plastik yang dibuang secara tidak bertanggungjawab tidak akan hilang begitu sahaja. Ia akan terurai menjadi zarah mikroplastik yang akhirnya memasuki rantaian makanan dan memberi kesan kepada kesihatan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kempen Bijak Plastik, Selamat Bumi di SMK Trusmadi, di sini hari ini.
Arthur berkata program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, mengenai kepentingan mengurus penggunaan plastik secara bijak demi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Dalam majlis tersebut, seramai 120 pelajar telah dilantik sebagai ‘Agen Perubahan’ atau Plastics Busters yang akan membantu mempromosikan amalan pengurangan sisa plastik di sekolah dan komuniti masing-masing.
Beliau turut menegaskan bahawa plastik tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai sampah, sebaliknya sebagai sumber yang mempunyai nilai ekonomi sekiranya diurus dengan baik melalui proses kitar semula dan inovasi produk.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah menetapkan agenda nasional untuk menamatkan penggunaan plastik sekali guna menjelang tahun 2030 serta memastikan semua produk plastik di pasaran boleh dikitar semula secara efektif.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan agenda tersebut tidak boleh bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, Arthur mengajak orang ramai supaya mula mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam kehidupan seharian serta menjadikan amalan menjaga alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama demi masa depan bumi yang lebih hijau dan lestari.



