Menelusuri legasi pelukis Chung Chen Sun di Balai Seni Negara

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun sedang berlangsung di Galeri Potret, Balai Seni Negara sehingga 1 September ini.

Balai Seni Negara dalam kenyataannya berkata pameran ini memperkenalkan serta menghidupkan semula legasi Chung Chen Sun sebagai pelukis dakwat Cina dan pendidik seni yang berpengaruh di Malaysia.

“Pameran ini merupakan siri ke-3 dalam Projek Arkib Balai Seni Negara yang menampilkan pelbagai bahan arkib seperti foto, lakaran, katalog dan wawancara yang memberi gambaran mendalam mengenai proses kreatif beliau.

“Selain karya dakwat Cina yang menjadi identiti Chung Chen Sun, pameran ini turut mengetengahkan lukisan minyak dan pastel yang jarang dipamerkan, memperlihatkan evolusi gaya seni beliau sepanjang kariernya,”kata kenyataan itu.

“Chung Chen Sun merupa­kan salah seorang pengasas Malaysian Institute of Art (MIA) yang telah memberikan sumbangan besar dalam dunia seni lukis, malah dalam pendidikan seni.

“Pameran ini merupakan sebahagian daripada usaha Balai Seni Negara untuk memelihara, mendokumentasi dan mempersembahkan warisan seni negara,”katanya.

“Menerusi koleksi arkib yang kaya, pameran ini bukan sekadar menjadi sumber rujukan sejarah, tetapi turut memperkaya pemahaman tentang sumbangan beliau terhadap seni tempatan dalam konteks sejarah dan budaya Malaysia.

“Menariknya, pameran ini disusun berdasarkan falsafah Konfusianisme sebagai kerangka utama, dengan tema pameran dibahagikan kepada enam segmen.

“Pendekatan ini mencerminkan pengaruh nilai moral Sanjiao (Tiga Ajaran), yang menggabungkan elemen Daoisme, Konfusianisme dan agama Buddha dalam karya serta pemikiran Chung Chen Sun,”katanya lagi.

“Enam segmen utama merangkumi Nasional ke Antarabangsa, Pertukaran Budaya dan Seni Antara Malaysia & China, Modernisasi Lukisan Dakwat: Gabungan Seni Timur dan Barat, Pendidikan Seni, Peribadi & Keluarga serta Penderma Karya Seni.

“Pembahagian segmen ini turut memudahkan pelawat dalam memahami keseluruhan pameran dengan lebih jelas.

“Projek Arkib: Chung Chen Sun bukan sekadar menelusuri perjalanan seni seorang tokoh, tetapi turut menghubungkan seni, pendidikan dan budaya dalam ruang penuh makna.

“Para pengunjung berpeluang menyelami warisan seni serta intelektual beliau melalui artifak, naratif dan pengalaman pameran yang lebih mendalam,”ujarnya.

“Untuk maklumat lanjut, layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

“Orang ramai dan peminat seni lukis dijemput untuk melawat dan menghayati warisan seni serta intelektual Chung Chen Sun yang penuh inspirasi.

“Pameran dibuka setiap hari dan masuk adalah percuma,”tambah kenyataan itu. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat