KUALA LUMPUR- Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menganggap Malaysia terlepas peluang apabila gagal memanfaatkan ruang yang ada bagi membolehkan artis antarabangsa mengadakan persembahan di negara ini.
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, ramai penghibur hebat yang boleh dibawa untuk beraksi melalui kaedah sedia ada, namun langkah tersebut tidak dilakukan.
“Kita terlepas peluang itu. Barisan selebriti kelas A berada dalam genggaman kita melalui perjanjian dengan ASM Global (syarikat pengurusan tempat AS).
“Kita mesti lebih agresif untuk mendapatkan mereka.
“Kejatuhan ekonomi yang besar adalah di luar politik,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, langkah menjadikan republik itu sebagai destinasi tunggal konsert Taylor Swift di Asia Tenggara bukanlah tindakan yang tidak mesra terhadap negara-negara lain di Asia Tenggara.
Sebaliknya kata Hsien Loong, negara tersebut memang menyediakan insentif tertentu melalui dana pembangunan pelancongan dan terbukti sangat berjaya.
Taylor Swift, seorang penyanyi dan penulis lagu yang berasal dari kini sedang sibuk menjelajah ke serata dunia dalam siri konsert Jelajah Era Taylor Swift.
Beliau yang banyak mempengaruhi industri muzik, budaya dan politik dunia kini berada di Singapura dalam siri enam hari konsert penyanyi tersebut.
Sementara itu NST melaporkan, sebuah parti politik yang sebelum ini popular mengkritik kerajaan Malaysia kerana mengadakan konsert kini sudah ‘bertaubat’ dan mempersoalkan kenapa Taylor Swift tidak datang ke Malaysia.
Timbalan pengerusi biro perundangan dan perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latiff, pula berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mesti memberikan penjelasan mengenai peluang ekonomi yang terlepas itu.
Menerusi perkongsian beliau, komunikasi telah dimulakan antara kerajaan Malaysia dan penganjur konsert Taylor Swift seawal 2022.
Sungguhpun begitu, Malaysia tidak dapat memeterai perjanjian itu, manakala negara jiran Singapura berjaya mendapatkan lawatan itu, katanya.
“Kerajaan Madani berada di bawah tekanan untuk mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan peluang ekonomi yang sama melibatkan penghibur terkenal.
“Peluang yang hilang untuk menganjurkan Jelajah Eras Taylor Swift mewakili kemunduran yang ketara bagi ekonomi Malaysia, terutamanya di tengah-tengah cabaran yang berterusan,” tambah Sasha.
Jelajah Era dijangka berakhir pada bulan Disember dan dijangka menjana pendapatan dolar AS 4.1 bilion (RM19.4 bilion) yang mengejutkan.
Sebelum ini, gabungan Perikatan Nasional (PN) telah menjadi suara yang konsisten dalam mengkritik acara konsert yang dianggap “berlebihan” atau tidak selaras dengan nilai-nilai masyarakat tempatan.