Bank BSI mengaku tidak semak kesahihan Jho Low mewakili Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai, mengakui sehingga kini bank itu tidak membuat pengesahan sama ada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mewakili Datuk Seri Najib Razak.

Pada prosiding sebelum ini, Swampillai dalam keterangannya berkata, Jho Low mewakilkan dirinya kepada pengurusan kanan bank itu sebagai penasihat kepada bekas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd ketika itu.

Ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee pada prosiding semalam, saksi pertama SRC itu bersetuju dengan cadangan tiada sesiapa (dalam BSI) yang menyemak sama ada Jho Low sebenarnya penasihat Najib.

Swampillai juga bersetuju urus niaga meragukan oleh SRC yang membabitkan berjuta ringgit disalurkan kepada dana fidusiari, tidak akan berlaku jika bank berkenaan membuat semakan dan mendapati dakwaan Jho Low adalah tidak benar.

Muhammad Shafee: Malangnya, tiada siapa, malah pegawai bank tidak membuat keputusan berhubung sejumlah jumlah wang yang begitu besar ini dan sama ada Kerajaan Malaysia melalui Najib sebenarnya sedar mengenai apa yang berlaku.

Swampillai: Ya.

Muhammad Shafee: Tiada siapa yang membuat semakan sama ada watak ini (Jho Low) benar-benar wakil SRC?

Swampillai: Jika soalan anda adalah jika tiada sesiapa dari BSI menyemak dengan (bekas) perdana menteri, tidak.

Muhammad Shafee: Dana ini diluluskan BSI di bawah arahan Jho Low dan beliau membuat representasi sebagai wakil Najib tanpa menunjukkan sebarang dokumen. Ini bukan kebiasaan bagi mana-mana bank untuk berbuat demikian?

Swampillai: Ya

Ketika ditanya sama ada bersetuju bahawa Jho Low ‘menjual nama’ Najib kepada BSI, Swampillai berkata, melalui pengetahuannya, lelaki itu menyekutukan dirinya sebagai penasihat (Najib) dan pelaburan yang dijalankan oleh SRC.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa amalan ‘menjual nama’ sudah menjadi kebiasaan di negara ini.

Malah, peguam itu menyatakan sebelum ini juga Jho Low ‘menjual nama’ Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika terbabit dengan Terengganu Investment Authority (TIA), sebelum ia ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhammad Shafee berkata, Jho Low menjual dan menyalahgunakan nama Sultan Mizan sehingga baginda menyifatkan lelaki itu sebagai karakter yang meragukan, namun Swampillai berkata, beliau tidak menyedari berhubung perkara itu.

Saksi itu memberikan keterangan dalam kes saman dikemukakan syarikat pelaburan strategik itu terhadap Najib dan bekas pengurusan kanan SRC.

Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu memulakan tindakan saman sivil terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan pertama dan kedua.

Sementara itu, bekas pengarah SRC iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, dinamakan sebagai pihak ketiga.

SRC yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa semua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana itu.

SRC memohon deklarasi bahawa semua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa RM42 juta dana SRC.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung Isnin. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat