LIPIS: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat negeri itu perlu menjadikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai sumber inspirasi.
Kata Wan Rosdy, baginda adalah contoh terbaik kepada rakyat jelata terutamanya anak-anak muda untuk bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kesukanan bagi membudayakan gaya hidup sihat.
Wan Rosdy merasa begitu kagum dengan semangat serta kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Kebawah baginda dalam menongkah arus mudik Sungai Pahang sejauh 400 kilometer.
”Sesungguhnya Patik dan seluruh rakyat jelata Negeri Pahang Darul Makmur merasa begitu kagum dengan semangat serta kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku dalam menongkah arus mudik Sungai Pahang sejauh 400 kilometer.
”Semoga keazaman serta kecekalan yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku ini menjadi inspirasi dan contoh terbaik kepada rakyat jelata terutamanya anak-anak muda untuk bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kesukanan bagi membudayakan gaya hidup sihat,” kata Wan Rosdy di Majlis Penutupan Expedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024, di Kampung Tanjung Gahai, di sini, petang tadi.
Ekspedisi selama empat hari yang bermula 3 Mac dan berakhir hari ini juga telah melalui enam daerah iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis.
Sepanjang ekspedisi ini juga Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku turut berkenan singgah dibeberapa kawasan untuk beramah mesra dan menyantuni rakyat jelata.
“Patik merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah ke sisi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah berjaya menamatkan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 bersama-sama rombongan baginda pada hari ini.
”Lebih manis lagi, ekspedisi yang bermula dari Pekan Riverfront, Daerah Pekan tiba di destinasi terakhirnya di Kampung Tanjung Gahai, Lipis iaitu kampung halaman Menteri Besar Pahang pada jam 5.30 petang tadi disambut meriah oleh penduduk kampung ini.
”Patik juga berdoa semoga Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku sentiasa dalam rahmat pemeliharaan dan perlindungan Allah SWT, selamat sejahtera, dilanjutkan usia dan dikurniakan sihat walafiat.” Kata Wan Rosdy.
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menongkah arus menghulu Sungai Pahang dengan menaiki bot kajang sepanjang ekspedisi yang akan disertai 17 bot lain.
Turut mengiring sepanjang expedisi, Tengku Hassanal ialah YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Exco Komunikasi, Belia dan Sukan, Badan-badan Bukan kerajaan Negeri Pahang, Tuan Fadzli Kamal.
Ekspedisi terbabit disertai 150 peserta terdiri daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dan wakil media.-SUARATV
BACA LAGI
- https://suara.tv/28/02/2024/tengku-hassanal-ketuai-ekspedisi-mahkota-mudik-sungai-pahang-2024-sepanjang-400-kilometer/
- https://suara.tv/04/03/2024/tengku-hassanal-sangat-laju-dan-fit-berjaya-tawan-bukit-kertau-dalam-masa-21-minit/