KUALA LUMPUR – Tindakan ‘dangkal’ demi meraih perhatian di media sosial dinilai sebagai memalukan negara sekali gus mempermainkan pihak berkuasa Indonesia.
Susulan tindakan pendek akal yang dirancang kononnya seorang pempengaruh paranormal yang dikenali sebagai Eyka, 22, dilaporkan hilang di sebuah hutan di Bandung, Indonesia mengundang laporan polis dibuat ke atas kumpulan itu.
Ketua Penerangan Pemuda Umno Kota Raja Mohd Azhar Osman yang kurang senang dengan berita kehilangan palsu itu telah membuat laporan polis di IPD Klang Selatan pada Jumaat.
Menurut Azhar, dia menggesa pihak polis agar mengambil keterangan sekali gus mengenakan tindakan terhadap kumpulan pempengaruh berkenaan sekembalinya mereka ke tanah air nanti.
“Hari saya ini berada di IPD Klang Selatan telah membuat satu laporan polis terhadap mereka, geng paranormal yang sekarang ini berada di Bandung , Indonesia.
“Seperti mana yang kita tahu mereka telah telah membuat cerita demi content, demi nak dapatkan view tinggi di live dengan mengatakan salah seorang daripada mereka ini telah hilang selama 3 hari tapi sebenarnya ini adalah satu cerita palsu demi nak content, nak dapatkan view tinggi , nak dapatkan perhatian.
“Video tersebut kita nampak ada pihak berkuasa seperti polis, tentera (Indonesia) dan ini amat memalukan kerana mereka mempermainkan pihak berkuasa Indonesia,
dan untuk pengetahuan semua kita pun tahu dengan insiden yang berlaku di Tanjung Rhu sekarang dengan kedutaan kita di Indonesia dilempar dengan telur dan berlaku pula perkara macam ni amat memalukan imej negara kita.
“Sepatutnya apabila pergi ke sana mereka mampu bawa imej yang baik untuk negara kita, tetapi ini pula yang berlaku. Ini terang-terang merosakkan, beri impak memburukkan negara kita.
“Justeru kita harap apabila mereka pulang ke tanah air,tolong pihak berkuasa panggil ambil tindakan sewajarnya,” gesa Azhar.
Media sebelum ini melaporkan, kehilangan seorang personaliti media sosial di Makam Keramat Hutan Bambu di Bandung, Indonesia pada Isnin disahkan oleh pihak berkuasa tempatan sebagai cerita palsu serta satu bentuk lakonan.
Jurucakap polis daerah Panyileukan dikenali sebagai Kompol Kurnia berkata, ia adalah satu bentuk kandungan sensasi yang dibuat semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut.
“Keterangan diambil menjelaskan mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut RT 05, RW 09, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung menerusi TikTok pada Ahad.
“Tajuk cerita sensasi mereka adalah ‘pempengaruh Malaysia (Eyka) hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal’
“Kandungan yang mereka buat juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa meskipun sudah diberikan kelulusan oleh pengurus wilayah setempat.
“Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Indonesia mengenakan hukuman serius terhadap penyebar berita palsu,” ujarnya.
Kumpulan terbabit dikatakan sudah membuat permohonan maaf kepada polis dan mengeluarkan kenyataan bertulis serta video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Terdahulu, Eyka yang juga rakan kepada personaliti media sosial sensasi, Ammar Nazhan dilaporkan hilang di dalam hutan sebelum ditemukan selamat pada pukul 10 malam Rabu, dalam keadaan lemah.