KUALA LUMPUR- Kabinet hari ini bersetuju JAKIM boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di negara ini berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata nasihat itu bagaimanapun tidak bersifat dasar.
Menurut kenyataan itu, satu mesyuarat telah diadakan hari ini bagi meneliti kekeliruan berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan membabitkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Melalui mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jemaah Menteri turut mengingatkan bahawa setiap setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
“Pada masa sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuh keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
“Perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional.
“Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama,” menurut kenyataan itu lagi.
Mesyuarat JK HARMONI Bil 1/2025 dijadualkan berlangsung bulan ini untuk mendengar segala pandangan ahli yang terdiri daripada 24 wakil penganut agama (Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i).
Sebelum ini, media melaporkan JAKIM sedang memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Mohd Na’im dipetik berkata, garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-126 yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 27 Februari ini.
Garis panduan itu akan diperkenalkan supaya pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Ia mencakupi hal menyentuh ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, serta penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.