“Saya bukan ‘broker’ cari mereka sokong Anwar” – MP Bukit Gantang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan beliau merupakan ‘broker’ bagi menarik Ahli Parlimen pembangkang menyokong Perdana Menteri.

Sebaliknya tegas beliau, Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat demikian atas kerelaan mereka sendiri.

“Saya bukan broker. Saya hanya menceritakan kepada mereka perkara yang betul ketika ditanya oleh rakan-rakan dari Parti Perikatan Nasional (PN), bukannya saya yang mencari mereka,” katanya lapor Utusan di Perak.

Beliau ditemui pemberita pada program jualan murah Parlimen Bukit Gantang di Changkat Jering pada Rabu.

Syed Abu Hussin sekali lagi menegaskan beliau menyokong kerajaan atas kerelaan hati sendiri bagi tujuan membangunkan kawasan Parlimen Bukit Gantang dan menjaga kebajikan rakyat.

Menurutnya, sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu, beliau tidak mahu hanya dicucuk hidung.

“Memikirkan kebajikan rakyat dan mahukan pembangunan, saya bertindak memberi sokongan kepada kerajaan Madani.

“Ini bagi untuk membolehkan peruntukan diberikan bagi pembangunan dan membantu rakyat di sini,” katanya.

Mengenai partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang menyokong pentadbiran kerajaan, Syed Abu Hussin berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang.

“Dalam perlembagaan parti Bersatu secara jelas saya serta rakan-rakan tidak meninggalkan parti atau melompat parti tetapi hanya memberi sokongan sahaja,” katanya.

Sementara itu, beliau mendakwa ramai lagi Ahli Parlimen pembangkang yang akan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri.

“Kenyataan saya sebelum ini bukannya 10 orang ahli parlimen yang akan berikan sokongan tetapi saya kata ada lapan, iaitu tiga dan lima orang dan ini yang menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 16 orang.

“Tunggu dan lihat pada sesi Parlimen bulan ini, saya jangkakan ada di antara mereka yang akan menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat