Pesanan ‘babah’ jadi panduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persembahan mantap, menyerlahkan identiti sendiri dan tanpa bermodalkan kisah sensasi membawa tuah kepada pasangan adik-beradik, Yamani Abdillah, 22, dan Zaki Yamani, 17, apabila dinobatkan juara Famili Duo musim kedua, malam kelmarin.

Menyifatkan diri masih hijau berbanding peserta lain yang memiliki pengalaman hebat, Yamani berkata, kejayaan diraih bukan sahaja atas usaha, tetapi banyak dibantu orang sekeliling termasuk sokongan bapa yang juga penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.

“Ini kali pertama emak dan babah menyaksikan saya bertanding serta menang. Kehadiran mereka menyuntik semangat saya membuat persembahan terbaik.

“Saya ada maklumkan layak ke final dengan harapan babah boleh hadir. Tetapi, masa itu babah tak berani beri persetujuan.

“Malah, sehingga saat akhir, babah belum dapat mengesahkan. Justeru, saya bertuah bila babah hadir dengan memberi sepenuh sokongan.

“Saya bersyukur selain keluarga, kejayaan ini juga banyak dibantu juri, produksi dan peminat yang mengundi,” kata Yamani kepada BH Online.

Berkongsi tip diterima daripada lelaki pujaan ramai itu, Yamani memaklumkan, Jamal tidak lupa menitipkan pesanan sebagai panduan untuk berjuang dalam program realiti terbitan TV3 itu.

“Babah beri pesanan panjang berjela menerusi telefon. Antara inti pati termasuk jangan menyanyi dengan gopoh, lakukan dengan ikhlas, jaga tempo dan sentiasa buat yang terbaik.

“Bila baca balik pesanan babah, saya jadi sebak,” luah pemilik nama lengkap Osama Yamani Jamal Ubaidillah ini.

 

Jamal turut hadir memberikan sokongan kepada dua anak lelakinya, Yamani dan Zaki. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Jamal turut hadir memberikan sokongan kepada dua anak lelakinya, Yamani dan Zaki. – NSTP/Saifullizan Tamadi

 

Yamani menyifatkan persembahan malam itu juga di luar zon selesanya.

“Ini kerana gaya nyanyian perlu menyerlahkan identiti sendiri. Syukur ia juga diakui juri tetap, Mas Idayu dan Ajai ketika membuat komen,” ujarnya.

Kemenangan dua adik-beradik di pentas Famili Duo akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Palza Alam Sentral, Shah Alam itu bukan sesuatu dijangka kerana persembahan mereka sering dibayangi peserta lain.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang Yamani dan Zaki kalah sebelum berjuang.

“Biasanya, jika menyanyi lagu balada, saya tarik suara ke dalam. Namun, kali ini saya lepaskan suara” ujar Zaki.

Pernah melalui episod dingin dalam hubungan dengan abangnya, Zaki atau nama sebenarnya, Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah berkata, dia bersyukur kekeruhan berjaya dijernihkan.

“Saya sendiri sudah lupa bagaimana nak jalin keserasian bersama abang kerana ia sudah lama berlaku iaitu ketika saya masih Tahun Satu.

“Penyertaan pada program realiti, Famili Duo berjaya menyatukan kami kerana berjumpa untuk berbincang konsep persembahan, setiap hari,” kata Zaki.

Mengulas apakah yang dilakukan dengan wang kemenangan RM100,000, Zaki memaklumkan wang itu akan dikongsi dengan ibu.

“Wang kemenangan akan diserahkan pada emak untuk menyimpannya, memandangkan saya masih di bawah umur.

“Kalau nak gunakan, baru saya minta dengan emak,” katanya.

 

Persembahan mantap dan menyerlahkan identiti sendiri tanpa dibayangi bapa membawa tuah kepada Yamani dan Zaki diangkat sebagai juara program Famili Duo musim kedua. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Persembahan mantap dan menyerlahkan identiti sendiri tanpa dibayangi bapa membawa tuah kepada Yamani dan Zaki diangkat sebagai juara program Famili Duo musim kedua. – NSTP/Saifullizan Tamadi

 

Pada acara akhir itu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan Khai Bahar dan Nabila Razali, manakala Janna Nick dan Sean Lee bertindak sebagai pengacara.

Sementara itu, Jamal meluahkan rasa bangga selain bergelar juara, program Famili Duo berjaya menyerlah identiti dua cahaya matanya itu.

“Sebagai bapa saya tentunya sangat gembira dengan kejayaan Yamani dan Zaki. Sejujurnya, ada juga terdetik mempunyai harapan untuk menang selepas menyaksikan persembahan mereka.

“Alhamdulillah, segala usaha Yamani dan Zaki berbaloi dengan kemenangan. Berdasarkan persembahan pertama, Yamani berjaya menyerlahkan kebolehannya bermain alat muzik, manakala Zaki pula bagus dari segi penjiwaan terhadap lagu disampaikan.

“Saya akui, Yamani dan Zaki berjaya membuktikan mereka tidak lagi dibayangi kelibat Jamal dan mempunyai identiti sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, naib juara disandang Fyna Jebat dan Ayda Jebat yang menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM20,000.

Wany Kayrie dan Bella Astillah hanya mampu berpuas hati menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM15,000. Tempat keempat dimenangi pasangan kontroversi, Sissy Imann dan Naim Daniel yang membawa pulang wang tunai RM10,000.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat