KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menzahirkan hasrat untuk berundur.
Dalam hantaran di Facebooknya, Dr Akmal memberi gambaran bahawa beliau sudah berusaha sehabis baik, namun kelemahan itu datang daripada dirinya sendiri.
“Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik.
“Mungkin kelemahan datang daripada diri saya sendiri.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri,” ujarnya tanpa menjelaskan perkara itu lebih terperinci.
Adun Merlimau itu juga merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong yang mendukung usaha beliau.
“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini
“Saya percaya jika niat kita baik demi agama,bangsa dan tanah air.
“Insya-Allah waktunya akan sampai jua,” kata beliau.
Susulan hantaran ‘pengunduran’ itu ramai warganet menasihatkan beliau agar tidak patah semangat, tidak mengalah bahkan ada yang memberitahu bahawa Presiden Umno sewaktu muda lantang bersuara.
Difahamkan hantaran Dr Akmal ini rentetan daripada hasrat terbuka yang diumum di Konvensyen Khas Pemuda Umno untuk melihat Umno dan Pas kembali bersatu dalam satu wadah demi memastikan kelangsungan serta kekuatan politik orang Melayu di negara ini.
Bagaimanapun, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid semalam menegaskan Umno kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehinga tamat penggal.



