BANGI, – Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (International Halal Economic Conference – IHEC) 2026 akan berlangsung dari 3 hingga 5 Februari depan di Hotel Tenera & Suite, Bandar Baru Bangi, Selangor, sekali gus menghimpunkan pemain utama ekonomi Halal dari seluruh dunia.
Persidangan ini dijangka menghimpunkan penggubal dasar global, pemimpin industri, ahli ekonomi, pengawal selia, pelabur serta inovator bagi membincangkan hala tuju dan masa depan Ekonomi Halal global. Program utama persidangan akan berlangsung pada 3 dan 4 Februari 2026.
IHEC 2026 berperanan sebagai platform strategik untuk meneroka peluang baharu dalam pasaran Halal antarabangsa, di samping menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab Halal paling berpengaruh di dunia melalui tadbir urus yang kukuh, inovasi, kelestarian serta kerjasama rentas sempadan.
Persidangan ini akan dimulakan dengan ucapan nasional peringkat tinggi yang menekankan kepimpinan Malaysia dalam Ekonomi Halal dan komitmen berterusan negara untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, meningkatkan daya tahan ekonomi serta memacu pertumbuhan inklusif melibatkan pasaran Muslim dan bukan Muslim. Sepanjang persidangan, sebanyak 14 sesi panel akan dianjurkan melibatkan penggubal dasar, ketua ahli ekonomi, pengawal selia, pengamal industri, ahli akademik dan peneraju pasaran global.
Antara fokus utama perbincangan termasuk trend pasaran Halal global, perubahan corak pengguna, pembangunan kluster Halal di ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Eropah, China dan Afrika.
Sektor berpotensi tinggi seperti makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, logistik, ekonomi digital, pelancongan serta kewangan Islam turut diberi perhatian, selain isu peraturan, perdagangan dan pelaburan yang dijangka membentuk ekosistem Halal selepas 2026.
Selaras dengan visi nasional, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan industri Halal kini berkembang melangkaui sektor makanan dan minuman kepada satu ekosistem menyeluruh merangkumi penjagaan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan dan kewangan Islam. Beliau turut menyatakan nilai pasaran Halal global kini dianggarkan melebihi RM16 trilion dan dijangka meningkat kepada hampir RM23 trilion menjelang 2030.
Selain sesi persidangan, IHEC 2026 turut menampilkan program berfokus industri termasuk sesi bimbingan perniagaan berkaitan pematuhan Halal dan akses pasaran, pameran antarabangsa produk dan teknologi Halal, sesi padanan perniagaan serta kaunter pemudah cara kewangan yang menyediakan perkhidmatan perbankan Islam dan khidmat nasihat pembiayaan.
Persidangan ini akan diakhiri dengan Malam Gala IHEC 2026 pada 5 Februari 2026, yang menyaksikan penyampaian Anugerah IHEC 2026 kepada organisasi, institusi dan individu yang memberi sumbangan cemerlang dalam pembangunan industri Halal di peringkat serantau dan global.
Penganjuran IHEC 2026 dilihat mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemangkin dialog Halal dunia serta pusat strategik bagi penyelarasan dasar, kolaborasi industri dan pertumbuhan ekonomi Halal yang mampan.



