KUALA LUMPUR – DAP menyelar kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sekali lagi cuba mengheret DAP dalam isu addendum yang melibatkan kes Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan pemimpin DAP khususnya anggota Kabinet dari DAP langsung tidak terlibat dalam isu addendum tersebut kerana isu pengampunan adalah urusan Lembaga Pengampunan yang tidak melibatkan Jemaah Menteri.
Bahkan tegasnya, dalam Lembaga Pengampunan pula, tidak ada seorang pun ahli lembaga yang terdiri dari wakil DAP.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sekali lagi cuba mengheret DAP dalam isu addendum yang melibatkan kes Najib.
” Tindakan keji ini merupakan mainan politik ulangan Pas yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu dengan slogan “Semua Salah DAP”.
“Saya ingin menegaskan bahawa pemimpin DAP khususnya Anggota Kabinet dari DAP langsung tidak terlibat dalam isu addendum tersebut kerana isu pengampunan adalah urusan Lembaga Pengampunan yang tidak melibatkan Jemaah Menteri. Dalam Lembaga Pengampunan pula, tidak ada seorang pun Ahli Lembaga yang terdiri dari wakil DAP.
“Tambahan pula, segala urusan Lembaga Pengampunan dinasihati oleh Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong,” jelas Ahli Parlimen Seremban itu.
Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, umum amat mengenali taktik politik kotor dan keji Pas dengan menggunakan isu ini dan mengaitkan dengan DAP untuk tujuan cuba menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memecahkan Kerajaan Perpaduan.
“Pemimpin Pas kini amat gila kuasa dan gelojoh untuk menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita politik mereka untuk merampas kuasa di Putrajaya.
“Saya menyeru rakyat Malaysia yang menghargai kestabilan politik pada masa kini untuk menolak sekeras-kerasnya politik murahan dan keji yang dibawa oleh Pas.
“DAP akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar dan yakin dengan keikhlasan semua gabungan dalam kerajaan untuk menolak cubaan Pas menggangu-gugat kestabilan negara,” bidas beliau.