KKM Kaji Strategi Baharu Tangani COVID-19 Yang Kian Mencabar

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji strategi baharu untuk dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan kes COVID-19 yang meningkat secara konsisten setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara strategi yang sedang diperhalusi ialah melaksanakan tindakan bersasar berbeza antara negeri-negeri zon merah dan hijau serta memperketat kawalan sempadan antara negeri.

“Bagi negeri-negeri merah, tindakan yang lebih drastik dan bersasar perlu dijalankan dengan melihat kepada kluster-kluster di negeri terlibat. Kita juga akan memperketatkan kawalan sempadan iaitu menghalang mereka rentas negeri dan daerah.

“Kita memerlukan sekatan pergerakan untuk mengawal, mengurangkan jumlah kes daripada 2,000 kepada 200 sebelum kita boleh menguruskan keseluruhan situasi dengan lebih baik,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga sedang mengkaji model digunakan Sarawak dalam mengawal penularan COVID-19 di negeri itu dengan mewajibkan pelawat atau mereka yang pulang (ke negeri itu) untuk menjalani ujian calitan dan dikuarantin sebelum dibenar bercampur dengan komuniti.

“Strategi kita akan berubah, kita lebih kepada pendekatan bersasar berbanding pelaksanaan di seluruh negara.

“Perbincangan sedang berjalan, KKM akan memberi nasihat tapi ‘kebijaksanaan’ kerajaan untuk membuat keputusan,” katanya sambil menambah KKM menjangkakan peningkatan kes harian dalam tempoh dua minggu terutama selepas ambang Tahun Baru.

Beliau berkata walaupun tindakan yang diambil sejak 14 Okt lepas berjaya mengelakkan lonjakan kes secara mendadak, ia masih tidak berjaya menurunkan kebolehjangkitan yang masih pada R-naught 1.1 kepada 0.5.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata KKM juga sedang mempertimbangkan untuk menempatkan kes positif tidak bergejala dan bergejala ringan di pusat kuarantin yang digunakan untuk pengembara pulang dari luar negara manakala pekerja asing pula dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Ditanya kebimbangan penularan COVID-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir di lima negeri iaitu Selangor, Perak, Terengganu, Pahang dan Johor, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada kluster baharu dikesan manakala Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) serta Individu Dalam Siasatan (PUI) juga bukan antara mereka yang terlibat dalam bencana itu.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat