RDC Melaka, platform perkukuh ekosistem inovasi akar umbi

Oleh Zihan Zari

BANDARAYA MELAKA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) terus giat melaksanakan inisiatif memperkasakan komuniti melalui pengoperasian Ruang Daya Cipta (RDC) Melaka.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Melaka International College of Science and Technology (MiCoST), Wisma Yayasan Melaka, Block C, Lot 925, Jalan Hang Tuah, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Azhar Arshad; EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka; Wakil MOSTI ; dan Pentadbir MiCoST.

MOSTI dalam kenyataannya berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi nasional yang digariskan bagi meningkatkan kesedaran, pemahaman dan penerapan elemen Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat, khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

Perasmiannya turut menghimpunkan kehadiran para pemegang taruh, rakan strategik, ahli akademik, pelajar selain RDC
Melaka berperanan sebagai platform komuniti yang menyediakan akses kepada kemudahan, peralatan dan latihan yang berkaitan dengan bidang STI,”kata kenyataan itu.

“Melalui RDC, masyarakat tempatan berpeluang mengembangkan potensi daya cipta serta membangunkan penyelesaian inovatif yang relevan dan mampan di peringkat akar umbi.

“Sehingga kini, sebanyak 23 buah RDC telah dibangunkan di seluruh negara, iaitu empat buah di Sabah dan Johor; dua masing-masing di Pahang, Sarawak, Kelantan, Selangor dan Perak; serta sebuah masing-masing di Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka, ”katanya.

“RDC Melaka yang telah siap dibangunkan pada Mac lalu , dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi seperti komputer, pencetak 3D dan studio digital, bagi menyokong pembangunan kemahiran teknologi dan kreativiti dalam kalangan komuniti setempat.

“Pembinaannya adalah jalinan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka, selaras dengan pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS) yang menekankan pembinaan ekosistem STI yang inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, terutamanya di peringkat akar umbi.

“RDC Melaka di MiCoST merupakan satu-satunya fasiliti dijangka memberi impak positif yang besar kepada komuniti di sekitar Melaka khususnya dalam usaha memperkasakan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi dan inovasi, ”katanya lagi.

Ujarnya, RDC turut berfungsi sebagai platform untuk mencetus dan membangunkan idea-idea baharu yang berpotensi untuk dikomersialkan, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina ekosistem inovasi sosial yang mampan, inklusif dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030, seperti yang digariskan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.

“Melalui RDC, YIM memainkan peranan signifikan dalam merakyatkan inovasi kepada komuniti setempat. Ini dibuktikan dengan beberapa aktiviti dan program yang dikendalikan di RDC seluruh negara dianjurkan secara inklusif dan kesemua masyarakatterutama penduduk sekitar menerima manfaat dan akses secara langsung kepada STI,”ujarnya lagi.

“Dengan penambahbaikan pembelajaran dan Modul Latihan STIE, RDC akan terus berkembang sebagai Centre of Excellence for Innovation pada masa hadapan serta memacu penglibatan masyarakat dalam inovasi dengan menyediakan akses teknologi moden, sekaligus meningkatkan taraf hidup dan memperkukuh ekonomi berasaskan teknologi, ”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat