KUALA TERENGGANU — Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Bahagian Kuala Terengganu menggesa kemelut dalaman parti dihentikan serta-merta, sambil menegaskan bahawa pertelagahan berterusan dalam kalangan pimpinan pusat semakin menjejaskan kestabilan dan tumpuan parti.
Bersatu bahagian Kuala Terengganu menyatakan bahawa konflik yang berlarutan telah membimbangkan ahli serta penyokong di seluruh negara.
Dalam kenyataan sama memberitahu bahawa parti kini berada dalam keadaan paling kritikal dan memerlukan tindakan tegas daripada kepimpinan tertinggi sebelum keadaan menjadi semakin parah.
“Bersatu sedang melalui fasa paling genting sejak penubuhannya. Perbalahan dalaman yang berpanjangan ini bukan sahaja merosakkan imej parti, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan kita memimpin perubahan.
“Rakyat menilai setiap kata dan tindakan kita, dan mereka melihat bagaimana kita lebih banyak bertelagah sesama sendiri berbanding memperjuangkan nasib mereka. Tiada masa lagi untuk bergaduh sesama sendiri.
“Jika kita terus leka dengan konflik dalaman, parti ini akan kehilangan sokongan yang sukar dibina semula,” katanya.
Bersatu Bahagian Kuala Terengganu turut mendesak Timbalan Presiden parti untuk menjelaskan secara terbuka segala dakwaan yang mengaitkannya dengan gerakan subversif, gerakan mengutip SD serta usaha menggugat kepimpinan Presiden parti.
“Pimpinan tertinggi perlu menjadi contoh yang baik. Rakyat sedang memerhati setiap langkah, dan mereka berhak melihat sebuah parti yang matang serta bersatu dalam hala tuju perjuangan.
“Kita tidak boleh membiarkan drama dalaman, sindiran, permainan persepsi dan gerakan di belakang tabir mengatasi agenda besar yang sepatutnya kita bawa untuk rakyat. Jika pemimpin gagal menunjukkan kematangan, bagaimana kita mahu rakyat terus percaya kepada kita?”
Selain itu, Bersatu bahagian Kuala Terengganu juga menggesa pemimpin di semua peringkat untuk mematuhi keputusan PAT 2025 dan menghentikan segala gerakan yang boleh mencetuskan perpecahan.
Mereka menekankan bahawa fokus parti perlu dikembalikan kepada rakyat, bukan perebutan kuasa.
“Tiada parti boleh menang PRU jika kepimpinannya saling meragui, bercakaran dan tidak mampu duduk semeja. Jika kita benar-benar mahu melihat BERSATU kembali kuat, tersusun dan dihormati, kita semua tanpa kecualmesti kembali bersatu di bawah satu nakhoda.
“Perjuangan ini lebih besar daripada mana-mana individu. Kesetiaan dan disiplin adalah asas untuk memastikan parti terus relevan dan diterima rakyat,” katanya.



