KUALA LUMPUR – Beberapa peralihan kerajaan secara teratur tanpa sebarang rusuhan membuktikan kebijaksanaan sistem demokrasi di Malaysia.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D Kagan berkata, dunia harus melihat kepada Malaysia sekiranya mahu mendalami nilai sebenar sebuah demokrasi.
“Saya rasa sekarang banyak timbul persoalan mengenai demokrasi. Dengan bangga saya katakan, jika ada yang bertanya tentang demokrasi, lihatlah Malaysia.
“Malaysia membuktikan kejayaan luar biasa. Mereka sudah mengalami episod pertukaran kerajaan beberapa kali tapi semuanya dilakukan secara aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Tontonan Keputusan Pilihan Raya Presiden AS, di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Jelasnya, kuasa sebenar sesebuah demokrasi itu berkesan adalah apabila setiap perubahan kepimpinan diterima rakyat tanpa mencetuskan persengketaan.
Ulasan Edgard itu susulan isu yang hangat diperkatakan di Washington apabila beberapa pihak mengkritik sistem demokrasi perwakilan AS sebagai tidak sempurna dengan menafikan undi popular, lapor Astro Awani.
Beliau berharap keputusan Pilihan Raya Presiden kali ini dapat diumumkan segera dengan tiada kekacauan tercetus terutama di ‘swing states’ antaranya North Carolina dan Georgia yang menjadi tumpuan.