Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Tan Sri Dato’ Sri Hj. Mohd Khamil Jamil, telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan itu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 4 November 2024 hingga 3 November 2027.
Mohd Khamil berkelulusan dalam bidang undang-undang dari University of London memiliki pengalaman luas dalam dunia korporat dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad selama 10 tahun dari 2006.
Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif DRB-HICOM Berhad, Pos Malaysia Berhad dan Proton Holdings Berhad sepanjang tempoh 2016 hingga 2018.
“Mohd Khamil juga bukanlah figura baharu dalam dunia pendidikan tinggi negara, ketika berkhidmat di DRB HICOM Berhad, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pro-Canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia.
“Beliau juga pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari tahun 2013 hingga 2014.
“Selain itu menjadi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari 2014 hingga 2016,”kata kenyataan itu pada Selasa.
“Kementerian yakin dengan pelantikannya itu, akan dapat meningkatkan tadbir urus profesional UiTM menerusi perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor berkepentingan bagi memperkukuh
institusi pengajian tinggi awam itu
agar lebih berdaya saing sebagai sebuah universiti komprehensif di Malaysia,” tambahnya.
“Kementerian turut mengambil kesempatan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini,”tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV