KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menyelar kenyataan Tony Pua yang dilihat mempertahankan kegagalan dan kerugian syarikat FashionValet Sdn Bhd (FV) kononnya sebahagian daripada risiko yang diketahui.
Menteri Luar Negeri itu bahkan mengingatkan Tony Pua yang sebelum ini pernah memfitnah kononnya Datin Seri Rosmah Mansor adalah pemilik perkhidmatan e-hailing, Grab.
“Dulu awak juga yang fitnah kata Grab tu Datin Seri Rosmah punya.
“Dah lupa ke? Soal Mohamad sebagai reaksi kepada kenyataan Tony Pua yang mengatakan kegagalan pelaburan macam FashionValet memang diperkirakan.
Untuk rekod, Tony Pua menganggap polemik yang menimpa FV sebagai tindakan menganiaya dan memalukan usahawan syarikat itu secara berlebihan susulan laporan kerugian selain pengurusan syarikat itu terpalit pelbagai dakwaan salah laku.
Tony Pua selaku bekas Setiausaha Publisiti DAP berpandangan tindakan sedemikian dibimbangi boleh mewujudkan budaya yang akhirnya merisikokan langkah pembuat keputusan dalam sesebuah syarikat pelaburan untuk mengambil sebarang risiko melabur dalam syarikat seperti itu nanti.
Tony Pua juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2018, menyuarakan kebimbangannya Malaysia berkemungkinan bakal kerugian jika usahawan muda tempatan tidak diberi peluang untuk mengembangkan idea mereka dan bersaing di peringkat lebih tinggi.
Katanya, rentetan daripada apa yang berlaku itu, beliau tidak menolak kemungkinan ramai usahawan muda tempatan akan berhijrah ke negara lain seperti Singapura yang menyediakan banyak akses lebih baik kepada usahawan seperti mereka.
Pada Oktober 2018, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu bercadang menggunakan perkhidmatan e-hailing popular Grab bagi menggantikan bas pengantara untuk MRT dan LRT.
Menurut Najib, PH sebelum ini mendakwa isterinya, Rosmah Mansor, adalah “pemilik” Grab dan Uber, satu lagi perkhidmatan e-hailing, yang keluar dari pasaran Malaysia awal tahun 2018.
“Jika dia (Rosmah) adalah pemilik Grab dan Uber, dia akan menjadi ahli perniagaan paling berjaya di negara ini. Tetapi ini tidak benar.
“Dakwaan mereka sebelum ini bahawa dia memiliki Grab dan Uber hanyalah untuk menimbulkan kemarahan orang ramai dan meningkatkan kemarahan mereka terhadap kami,” kata Najib.
Sebelum itu, Tony Pua ketika itu masih Ahli Parlimen Damansara berkata kerajaan sedang “berbincang” dengan Grab tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Najib berkata tuduhan terhadap Rosmah mungkin bermula apabila beliau mencadangkan Khazanah Nasional melabur dalam Grab kerana melihat syarikat e-hailing tempatan itu berpotensi.
“Khanazah memutuskan untuk tidak melabur dalam Grab dan saya menghormati keputusan mereka.
“Sudah tentu, mereka mungkin menyesal dengan keputusan itu kerana Grab kini sebuah syarikat bernilai lebih AS$11 bilion (RM46 bilion),” katanya.