KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis termasuk kediaman milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pemeriksaan itu termasuk untuk mendapatkan dokumen berkaitan serta maklumat aset dimiliki pasangan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Pegawai saya mengikuti mereka ke rumah mereka dan mana-mana premis berkaitan untuk dibuat siasatan lanjut.
“Pegawai saya dalam proses buat siasatan terhadap premis-premis dimiliki dua pasangan berkenaan untuk tujuan membuat siasatan lanjut, ambil dokumen dan sebagainya, jadi siasatan terhadap kedua-duanya masih berjalan, masih belum habis,” memetik laporan BH di Putrajaya pada Rabu.
Terdahulu, pasangan suami isteri terbabit hadir di Ibu Pejabat SPRM pada jam 12.54 tengah hari untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Kenderaan membawa pasangan itu kemudiannya dilihat meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat SPRM pada jam 4.23 petang.
Vivy dan Fadzaruddin antara enam individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, kelmarin.
Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan kes masih lagi di peringkat awal dan tumpuan adalah kepada pasangan suami isteri berkenaan untuk mendapatkan dokumen serta barang kes yang diperlukan.
“Dalam dua hari ini, kita ambil kenyataan (individu berkaitan) dan kemudian buat pemeriksaan dokumen dan aset-aset mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pasangan terbabit akan diambil keterangan lagi sama ada pada malam ini atau disambung esok.
“Apabila kita pergi mendapatkan dokumen atau apa-apa barang kes yang perlu, sudah tentu ia akan menyebabkan pegawai saya membuat persoalan mengenai pemilikan aset dan sebagainya untuk direkod dalam keterangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan pihaknya sudah mengambil keterangan tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan siapa individu terbabit sama ada dari FashionValet, Khazanah atau PNB.
“Setakat ini ada tambahan keterangan daripada tiga individu menjadikan jumlah keterangan yang dirakamkan seramai sembilan orang.
“Seperti mana saya tegaskan tadi, siasatan masih diteruskan, sekarang di peringkat pegawai periksa dokumen dan aset milik pasangan berkenaan,” katanya.