Ambrin Buang sokong hasrat Sultan Selangor pastikan Kampong Bharu kekal milik Melayu

KUALA LUMPUR, – Ahli Dewan Diraja Selangor merangkap anak jati Kampong Bharu, Tan Sri Ambrin Buang, menyatakan sokongan penuh terhadap titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar pembangunan semula Kampong Bharu dan Kampung Sungai Baru dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan serta maruah orang Melayu.

Dalam satu kenyataan media bertarikh 1 Oktober 2025, Tan Sri Ambrin yang juga mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Selangor bertarikh 18 September lalu yang mengingatkan pentingnya Kampong Bharu dikekalkan sebagai penempatan dan simbol warisan orang Melayu di tengah-tengah ibu kota.

“DYMM Tuanku menegaskan segala usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu. Ini menggambarkan keprihatinan Tuanku berkaitan isu yang membabitkan Kampong Bharu dan Kampung Sungai Baru,” kata Tan Sri Ambrin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan terhadap kenyataan Sultan Selangor berhubung jaminan bahawa kedudukan dan kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu akan terus dipelihara.

Dalam kenyataan itu, Tan Sri Ambrin turut menjelaskan sejarah pewartaan Kampong Bharu sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS) pada 12 Januari 1900 oleh Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, bagi tujuan pertanian dan penempatan orang Melayu.

Pada tahun 1901, tanah tersebut diwartakan semula bagi tujuan penempatan orang Melayu selepas usaha tanaman padi gagal mencapai hasil memuaskan. Menurut beliau, berdasarkan catatan sejarah Setiausaha Kehormat MAS ketika itu, John Hand (1933–1941), pewartaan tersebut kekal hingga kini sebagai asas penempatan Melayu di ibu negara.

“Seperti yang semua sedia maklum, Kampong Bharu ini kemudiannya diserahkan oleh kerajaan Selangor kepada kerajaan Persekutuan ketika pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada Februari 1974,” jelasnya.

Kampung Sungai Baru harus diwartakan sebagai tanah MAS

Menyentuh isu semasa pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Tan Sri Ambrin menjelaskan bahawa berdasarkan semakan beliau, sebahagian besar tanah kawasan itu sebenarnya termasuk dalam warta tanah MAS.

Beliau turut mengupas sejarah tahun 1967 apabila kerajaan Selangor meluruskan Sungai Klang bagi mengelak banjir, sekali gus mewujudkan tanah lebihan 16.31 ekar di tebing kanan sungai yang kini dikenali sebagai Kampung Sungai Baru.

“Oleh itu, tanah lebihan ini sebenarnya termasuk di bawah warta MAS bertarikh 16 Februari 1932 yang merangkumi tebing kanan Sungai Klang. Maka sepatutnya ia diwartakan sebagai tanah di bawah MAS,” tegas beliau.

Hanya untuk pemilikan Melayu

Tan Sri Ambrin turut menegaskan bahawa tanah Kampung Sungai Baru mempunyai syarat sekatan yang menyatakan ia tidak boleh ditukar milik kepada orang bukan Melayu. Bagaimanapun, menurut beliau, keadaan itu mungkin belum diterjemahkan untuk menjadi sebahagian daripada warta MAS secara rasmi.

“Inilah masanya kerajaan Persekutuan membetulkan semula keadaan dengan memastikan tanah ini diwartakan sebagai tanah MAS bagi tujuan penempatan orang Melayu,” katanya.

Beliau menambah, kedudukan tanah Kampung Sungai Baru yang sangat strategik dan bernilai tinggi berisiko hilang daripada pemilikan Melayu jika dijual secara terbuka kepada bukan Melayu.

“Oleh itu, demi menjamin hak dan kepentingan orang Melayu, hasrat asal Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dan Almarhum Raja Muda Musa untuk penempatan orang Melayu perlu dikekalkan,” ujar beliau menutup kenyataan.

Istana Selangor ambil maklum

Dalam satu muat naik rasmi di laman media sosial Istana Selangor pada Isnin, pihak Istana memaklumkan bahawa DYMM Sultan Selangor telah disembah maklum dan membaca kenyataan media Tan Sri Ambrin Buang yang bertarikh 1 Oktober 2025.

Istana turut menegaskan bahawa Tan Sri Ambrin, yang juga bekas Ketua Audit Negara dan Ahli Dewan Diraja Selangor, ialah anak jati Kampong Bharu yang mempunyai rekod panjang dalam perkhidmatan awam dan pembangunan kawasan tersebut.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat