Apa yang ‘dibanggakan’ Ahmad Maslan kini masalah dipikul GRS, Sabah jauh ketinggalan era Umno – Joniston Bangkuai

KUALA LUMPUR– Ketua Sekretariat War Room Umno Datuk Seri Ahmad Maslan didakwa cuba mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan yang Barisan Nasional (BN) berjaya memajukan Sabah sepanjang 34 tahun mentadbir walaupun hakikatnya, masih banyak keperluan rakyat negeri itu gagal diselesaikan.

Situasi tersebut menjadikan Sabah jauh ketinggalan berbanding kemajuan yang dinikmati rakyat di Semenanjung ketika era BN memerintah.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai berkata, apa yang ‘dibanggakan’ Ahmad sebenarnya meninggalkan masalah yang kini dipikul oleh kerajaan GRS.

Menurutnya, meskipun lebih tiga dekad BN mentadbir, banyak keperluan asas rakyat di negeri tersebut seperti jalan luar bandar, sekolah, bekalan air dan elektrik belum diselesaikan sehingga mewujudkan jurang ketara antara Sabah serta Semenanjung.

“Ahmad Maslan cuba mengelirukan rakyat. Selepas begitu lama berkuasa, BN masih gagal menyelesaikan masalah harian rakyat. Itu fakta yang rakyat Sabah sendiri alami.

“Masalah ini kini dalam usaha untuk diselesaikan oleh GRS dengan peruntukan yang besar disediakan,” lapor Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin Umno itu baru-baru ini apabila menyifatkan GRS sebagai ‘baru belajar mentadbir’ dan terlalu awal mendabik dada sebagai pentadbir negeri.

Mengulas lanjut, Joniston berkata, kerajaan GRS kini terus komited mengambil langkah menyelesaikan permasalahan rakyat di Sabah.

“Bezanya (dengan BN), kepimpinan kerajaan GRS yang diperlekehkan oleh Ahmad Maslan mentadbir Sabah dengan lebih berkesan, mengambil kira suara rakyat Sabah dan berpaksikan semangat perjuangan untuk negeri ini.

“Dalam tempoh hanya lima tahun, hasil negeri Sabah melonjak ke paras tertinggi RM6.9 bilion, rizab negeri sudah melepasi RM8.6 bilion dan dijangka menembusi RM10 bilion.

“Selain itu, lebih RM35 bilion pelaburan berjaya dibawa masuk dan hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk pendidikan dan kemahiran rakyat.

“Jadi untuk mengatakan GRS masih baru merangkak adalah tidak masuk akal,” tegasnya.

Justeru ujar beliau, kenyataan Ahmad yang memperlekeh GRS hanya menunjukkan pemimpin Umno itu meremehkan gabungan parti tempatan yang kini mentadbir negeri sendiri.

“Kenyataan beliau jelas ‘tone deaf’ dengan suara rakyat Sabah kerana rakyat kini yakin masa depan negeri lebih terjamin di bawah kepimpinan tempatan, bukan sekadar retorik dari luar,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat