Polis Buru Individu Dalang Burukkan Nama Agong dan Istana Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis kini menyiasat kes penggunaan nama dan gambar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Istana Negara oleh individu tertentu untuk mengeluarkan kenyataan tidak benar kepada media.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada pegawai Istana Negara.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Istana Negara memandang serius perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Seri Paduka dan Istana Negara, untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.

Beliau berkata tindakan yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Seri Paduka dan Istana Negara, tetapi juga boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya sudah merekodkan keterangan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung dakwaannya pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu adalah sandiwara.

“Keterangan beliau (Mohamaddin) sudah direkodkan pada 1 Oktober di Kota Kinabalu, Sabah, oleh sepasukan anggota di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Sabah,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan itu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video berdurasi seminit sembilan saat berkaitan ucapan Mohamaddin yang menganggap peristiwa Lahad Datu yang mengorbankan 10 anggota keselamatan, sebagai sandiwara, semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan lalu. – Bernama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat