Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kumpulan The Last Rebel dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak Jaya, Sabah berjaya merangkul gelaran johan pada Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan 2025 yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna B1, Menara Komunikasi dekat sini, baru-baru ini.
‘The Last Rebel’ mempersembahkan pengisahan bertajuk ‘Namamu Kekal Dalam Sejarah’ betul-betul menyentuh hati barisan juri dan penonton yang melayakkan mereka membawa hadiah wang tunai RM6,000, piala pusingan, hadiah iringan, plak serta sijil penghargaan.
Kumpulan itu menampilkan kisah perjuangan pahlawan Mat Salleh atau Datu Paduka Mohammad Salleh Datu Balu yang memimpin gerakan menentang penjajahan British di Sabah pada akhir abad ke-19.
Pertandingan ini disaksikan lebih 400 tetamu yang hadir, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama rakan kolaborasi strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam pada itu, Kumpulan Rosli Dobi dari Sekolah Seni Malaysia, Sarawak (SSeMS) meraih gelaran naib johan menampilkan perjuangan ‘Rosli Dobi’ sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, hadiah iringan, plak dan sijil penghargaan.
Selain itu, tempat ketiga telah disandang oleh SMK Batu Maung, Pulau Pinang dengan persembahan bertajuk ‘Lembaran Kisah Seutas Gelang’ membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, hadiah iringan, plak serta sijil iringan.
Manakala tiga lagi sekolah iaitu SMK Yam Tuan Radin, Negeri Sembilan; SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang, Johor; dan SMK Idris Shah, Perak mendapat hadiah saguhati serta membawa hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, hadiah iringan, plak serta sijil penghargaan.
Menerusi kenyataan JAPEN berkata, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan mula diperkenalkan pada 2003, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JAPEN bagi memperkukuh semangat patriotik dan perpaduan nasional khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Pertandingan ini bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ mengetengahkan elemen lakonan dan penceritaan yang mengangkat mesej kenegaraan, kisah tokoh pejuang kemerdekaan, pemimpin negara serta sejarah perjuangan bangsa.
“Pada edisi tahun ini, jumlah penyertaan secara keseluruhan adalah sebanyak 120 buah kumpulan terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang merupakan ahli Kelab Malaysiaku seluruh negara,”kata kenyataan itu.
Katanya, melalui proses saringan, enam pasukan terbaik telah terpilih daripada 15 pasukan johan negeri untuk mara ke pertandingan akhir peringkat kebangsaan.
Hadiah kemenangan kepada peserta
Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan 2025 telah disampaikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi, Mazlan Abdul Mutalib; Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan; Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari;
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj; dan Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JAPEN, Erwin Khairul Ahmad.-SUARA.TV



