Kebanggaan buat Ernie

- Advertisement -

MEMILIH meletakkan lagu tema kemerdekaan negara berjudul Malaysia Prihatin sebagai penutup persembahan Lambang Sari Series (LSS) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Rabu lalu adalah satu langkah bijak.

Nyanyian penuh bertenaga Ernie Zakrie menerusi lagu gubahan Datuk Mokhzani Ismail dan lirik El Sol Akhmad ini berjaya memukau penonton yang hadir menonton siri kedua LSS Tanah Airku bersempena bulan kemerdekaan negara.

Selain lagu terbabit, Ernie yang dikenali mempunyai kekuatan vokal tersendiri turut menyampaikan medley lagu Sejahtera Malaysia/Setia yang mendapat tepukan gemuruh penonton.

Ernie yang ditemui berkata, dia gembira dapat kembali menyanyi dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) selepas beberapa lama tidak bergandingan.

“Rasa gembira dan bangga juga apabila saya kembali dijemput menyanyi. Kalau untuk persembahan di Istana Budaya, memang lama sangat kami terpisah.

“Bagaimanapun, untuk lagu Malaysia Prihatin, OSK terbabit sama dan pernah beraksi di RTM. Untuk lagu Malaysia Prihatin pula, ia mempunyai dua versi iaitu pop dan simfoni. Datuk Mokhzani pilih saya menyanyikan dalam versi simfoni dan awalnya ia satu tanggungjawab besar,” katanya.

Menurutnya, dia sudah lama tidak menyanyikan versi simfoni atau opera dan mengakui gementar apabila diberikan kepercayaan itu.

“Ia sebuah lagu untuk negara dan semestinya saya kena buat habis baik. Apabila bersama Datuk Mokhzani, beliau banyak tenangkan saya.

“Memandangkan kerap menyanyikan lagu ini, ia dah jadi biasa dan saya makin selesa. Sekarang boleh dikatakan saya berbangga dapat menyanyikannya.

“Yang susahnya lagu ini semestinya teknik soprano yang Datuk Mokhzani terapkan, tapi beliau bagi sedikit kebebasan buat bukan sepenuhnya soprano dan saya masukkan sedikit unsur pop.

“Kalau soprano keseluruhannya, mungkin agak berat. Ia boleh disesuaikan dengan pop juga. Dari sudut penghayatan agak mudah kerana liriknya saya faham. Apabila berborak dengan beliau, saya faham apa yang cuba beliau sampaikan. Tidak ada cabaran lain kecuali dari sudut teknikal,” katanya.

Ernie turut mengakui teruja apabila Malaysia Prihatin versi simfoni turut mendapat perhatian ramai seperti versi pop.

“Saya tengok banyak komen membina dan positif yang diberikan peminat. Mereka berbangga kita boleh menghasilkan lagu berkualiti sebegini.

“Saya mengharapkan lagu ini jadi malar segar. Saya rasa inisiatif perlu dibuat untuk lagu ini dimainkan di mana-mana dan bukan di YouTube saja.

“Jika semua pihak mendengarnya seperti lagu Setia, insya-Allah orang boleh terima dan jadi malar segar. Lagu ini hanya dinyanyikan setahun sekali dan orang lebih tertarik dengar lagu lama,” katanya yang tidak menolak menyanyikan lagu genre ini sekiranya diberi peluang pada masa seterusnya.

Sementara itu persembahan dan lagu yang ditampilkan dalam LSS Tanah Airku antaranya ialah Drumline PDRM, Overture Tanah Airku, medley Jalur Gemilang/Tanggal 31/Perajurit Tanah Air, medley lagu Sejahtera Malaysia/Setia, Gemuruh, medley Saya Anak Malaysia/Keranamu Malaysia dan Standing in The Eyes of The World nyanyian Cartez Jacqueline.

Selain Tanah Airku, OSK akan mementaskan Siri Malaysia Childhood Memories dan Festive Season with NSO pada 14 Oktober dan 2 Disember 2020 bermula jam 12 tengah hari selama satu jam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat