Baki simpanan air mentah di tiga empangan di paras bahaya – NADMA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiga empangan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang mencatat penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah sehingga mencecah paras bahaya kini.

Ia membabitkan Empangan Muda di Kedah, Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang yang masing-masing merekodkan paras 7.44 peratus, 16.43 peratus serta 28.20 peratus, setakat semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan lima lagi empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran, iaitu kurang daripada 59.99 peratus.

Memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi itu berkata, lima empangan berkenaan ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang yang merekodkan paras 32.40 peratus; Empangan Malut, Empangan Pedu dan Empangan Beris di Kedah yang masing-masing mencatat 37 peratus, 37.02 peratus dan 53.39 peratus; serta Empangan Timah Tasoh di Perlis (38.49 peratus).

Rekod bagi bacaan paras bahaya adalah baki storan 29.99 peratus dan ke bawah, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran), manakala 60 peratus dan ke atas (normal).

Mengenai status pencemaran udara bagi tempoh 30 Julai hingga hari ini pula, NADMA yang memetik Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan bahawa Tanjung Malim, Perak; Nilai, Negeri Sembilan; dan Kampung Raja Besut, Terengganu, merekodkan kualiti udara tidak sihat, iaitu masing-masing dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) 151, 117 dan 154.

Berhubung pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas, NADMA yang memetik Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 119, setakat semalam, berbanding 116 pada 29 Julai lalu. Ia membabitkan 83 kes yang berpunca daripada kelesuan haba, strok haba (28) dan kejang haba (lapan).

Daripada jumlah itu, menurut NADMA, Terengganu mendahului dengan 20 kes, diikuti Kedah (19), Johor dan Pahang masing-masing 14 kes, Perak (13), Negeri Sembilan (10), Selangor (sembilan), Sabah (tujuh), Kelantan (lima), Perlis (empat), Kuala Lumpur (tiga) dan Pulau Pinang (satu).

Pecahan kes mengikut umur pula membabitkan 90 individu dewasa, 24 remaja, tiga kanak-kanak dan dua warga emas, manakala kematian akibat strok haba kekal lima kes, setakat ini.

“Terdapat satu kes strok haba yang masih dalam rawatan di wad biasa Hospital Teluk Intan, Perak. Semua kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh,” menurut NADMA. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat