Mangsa Banjir Bersyukur, Amat Alu-alukan Bantuan Awal Diumum PM

- Advertisement -

BALING – Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung bantuan awal termasuklah pemberian wang tunai RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas banjir di sini disambut baik oleh mangsa bencana alam itu.

Seorang wanita warga emas, Puteh Saud, 68, berkata dalam keadaan ramai penduduk yang diuji dengan bencana itu, sumbangan yang diumumkan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi.

“Bagi mak cik, sedikit atau banyak bantuan dan sumbangan yang diberikan, kalau dapat, sudah bersyukur Alhamdulillah sebab ramai yang kena banjir…dapat bantu sikit-sikit pun mak cik bersyukur.

“Rumah mak cik pun terjejas teruk, retak…sudah 30 tahun mak cik duduk di situ ini kali pertama dilanda banjir teruk macam ni…sebab itu kalau ada bantuan untuk baiki rumah, mak cik gembira sangat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Puteh yang sudah dua malam berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai berkata dengan keadaan rumahnya yang rosak teruk ketika ini dia tidak mahu merisikokan keselamatan diri dan tinggal di rumah buat masa ini.

“Jadi mak cik harap mereka dapat baiki segera supaya mak cik ada tempat untuk berteduh yang selamat, serta perkakasan asas rumah terutamanya peralatan untuk memasak kerana semuanya sudah dihanyutkan air,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Iboi dekat sini.

Seorang lagi mangsa banjir, Zaharah Isa, 62, dari Kampung Jerai, berkata dia menerima segala bentuk sumbangan yang diberikan dengan hati terbuka.

“Rumah mak cik tenggelam teruk di bahagian dapur, tidak ada apa yang sempat diselamatkan…bila dengar ada yang sudi hulur bantuan ringankan beban mak cik, rasa gembira dan bersyukur sangat.

“Kalau dapat diusahakan bantuan rumah baharu di tempat lain, itu lebih baik kerana bimbang juga mak cik nak tinggal di situ,” katanya.

Bagi seorang lagi mangsa, Che Ahmad Hassan, 68, dari Kampung Padang Empang Iboi berkata setakat ini mangsa banjir ada yang sudah menerima bantuan wang tunai RM1,000 daripada Ahli Parlimen Baling.

“Bila Perdana Menteri umum akan beri bantuan lagi, rasa gembira…kita tak jangka akan jadi macam ni namun jika ada bantuan baik pulih rumah serta kerosakan di dalam rumah, saya bersyukur sangat dan minta dapat disegerakan,” katanya.

Menurutnya, rumahnya turut terjejas akibat banjir Isnin lalu malah reban berserta ayam yang diternak juga dihanyutkan air.

“Sebab itu bila ada bantuan awal seperti ini, sedikit sebanyak dapat bantu saya dan mangsa banjir yang lain,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian bantuan awal kepada kira-kira 1,490 mangsa banjir membabitkan 112 ketua isi rumah (KIR).

Bantuan yang diumum akan diberikan termasuklah bantuan awal kepada setiap KIR berbentuk wang ihsan RM1,000, bantuan barangan keperluan asas berjumlah RM2,500, bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 serta pembaikan rumah. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat