KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuhan di antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus, sebagaimana yang diunjurkan.
Jelasnya, usaha Kerajaan untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik semakin berhasil dan berada pada momentum terbaik.
Terkini, ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.
“Bagi tahun ini, Kerajaan Tuanku bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuhan di antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus, sebagaimana yang diunjurkan.
“Pembukaan sempadan juga telah merancakkan usaha pemulihan ekonomi, khususnya sektor pelancongan dengan peningkatan kemasukan pelancong asing.
“Seramai dua juta pelancong asing dijangka mengunjungi Malaysia pada tahun ini, yang akan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara.
“Kerajaan Tuanku, kekal komited untuk melonjakkan prestasi perdagangan dan pelaburan negara, termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.” katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara di sini hari ini.
Dalam pada itu ujar Ismail Sabri lagi, kerajaan akan memastikan urusan pemain industri perdagangan dan pelaburan negara dipermudahkan serta sistem penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan.
Ismail Sabri berkata ia seiring dengan komitmen kerajaan bagi melonjakkan prestasi kedua-dua industri berkenaan termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.
Langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal teguh.
“Sebagai contoh, sepanjang suku pertama 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion, berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu.
“Jumlah perdagangan luar, berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion, manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini,” katanya.