Tak patah semangat perjuangkan isu IP, hak cipta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) terus memperjuangkan isu pemilikan harta intelek (IP) dan hak cipta karya diterbitkan syarikat produksi tempatan yang sudah berlarutan lebih 14 tahun tidak akan terhenti.

Ia menjadi agenda utama dibincangkan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan PTVM Ke-15 pada 30 Mei lalu.

Terus diberikan kepercayaan menerajui jawatan Presiden, Datuk Jurey Latiff Rosli yang memikul amanah empat penggal sejak 2008 berjanji akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan baik demi kepentingan ahli PTVM dan industri kreatif tempatan.

Baginya, usaha memohon kerajaan mengkaji semula tempoh pemilikan harta intelek dan hak cipta karya terbitan syarikat produksi yang diberi kepada stesen televisyen (TV) bukanlah suatu perkara baharu.

Justeru, PTVM mengharapkan, isu pemilikan IP dan hak cipta karya dipandang berat agar syarikat produksi boleh menjana pendapatan menerusi produk dihasilkan, biarpun tidak lagi aktif melakukan kerja penerbitan.

Katanya, sudah tiba masanya hak berkenaan diberikan semula kepada penerbit selepas beberapa tahun produk dijual kepada stesen penyiar.

“Isu tempoh pemilikan IP dan hak cipta karya masih belum diselesaikan sehingga hari ini. Justeru, PTVM memohon kerajaan membenarkan karya dipulangkan semula kepada syarikat produksi.

“Selama ini golongan penerbit menggunakan 100 peratus duit sendiri menghasilkan karya. Apabila karya dihantar, stesen penyiar akan mengambil keseluruhan hak cipta.

“Jadi, kami mohon membincangkan kaedah bagaimana boleh memanfaatkan pemilikan IP dan hak cipta bersama,” katanya kepada BH Online.

Tambah Jurey, mungkin kerajaan boleh menetapkan tempoh penyiaran antara tiga hingga lima tahun. Dan kemudiannya ia dipulangkan semula kepada syarikat produksi.

“Dengan itu, bolehlah golongan penerbit menjual semula karya ke stesen penyiar lain atau platform Over The Top (OTT) yang semakin berkembang pesat dalam dunia penyiaran.

“Dapat juga kami menjana pendapatan. Pendapatan ini juga boleh dikongsikan bersama penggiat seni lain seperti penulis skrip, pengarah, pelakon dan kru balik tabir.

“Namun, sedihnya hingga hari ini tiada siapa mendengar keluhan kami mengenai IP dan hak cipta ini,” katanya.

Justeru, PTVM berharap kerajaan dapat memperhalusi rayuan golongan penerbit demi membantu mendapatkan karya semula agar dapat menjana keuntungan bagi menghasilkan kandungan kreatif lain.

Jurey berkata, dia akan terus memberikan semangat kepada ahli PTVM, selain bekerja dengan amanah diberikan.

“Saya tidak jemu atau mengaku kalah untuk meneruskan perjuangan ini. PTVM sentiasa mengadakan pertemuan bersama menteri dan kementerian, meskipun menteri sentiasa bertukar.

“Sejak menjadi presiden PTVM lebih 15 tahun lalu, itulah kerja saya. Namun, tidak sesekali lelah, mahupun patah semangat.

“Saya akan teruskan perjuangan kerana saya tahu masalah ini akan ada jalan penyelesaian, suatu hari nanti,” katanya.

Selain itu, PTVM turut menyuarakan pendapat agar kerajaan terus menyalurkan dana kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) agar boleh berkongsi dengan syarikat produksi tempatan dan luar negara.

“Kita ada Dana Kandungan Digital (DKD) yang hanya khusus kepada penerbitan program di stesen TV tempatan. Jadi mengapa tidak, kerajaan turut mengeluarkan dana khusus untuk kerjasama antara produksi tempatan dan antarabangsa.

“Contohnya, kita menjalankan kerjasama syarikat produksi di Thailand. Kemudiannya, karya turut ditayangkan Malaysia dan Thailand. Ia sekali gus membolehkan karya tempatan ditayangkan di peringkat global.

“Menerusi usaha ini, dana diberikan memberi impak besar kerana berjaya membawa karya tempatan menembusi pasaran luar negara.

“Jadi, Misi Oscar dengan membawa karya ke Festival Filem Cannes, Perancis seperti dihadiri FINAS, baru-baru ini mampu tercapai,” katanya.

Inisiatif itu, katanya, selari dengan usaha kerajaan untuk membawa karya tempatan ke pasaran global.

“PTVM yakin jika bekerjasama dengan syarikat produksi antarabangsa, kita mampu meningkatkan taraf kualiti produksi kerana menghasilkan karya untuk tayangan global.

“Oleh itu, kerajaan perlu menerajui inisiatif itu demi anjakan industri perfileman negara pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,593FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat