MEDAC Sambut Baik Pelancaran PENJANA

- Advertisement -

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyambut baik inisiatif kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dilihat mampu membantu meringankan beban usahawan dan mengekalkan kestabilan operasi perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, daripada RM35 bilion peruntukan di bawah pelan itu, kira-kira RM14.5 bilion akan memberi manfaat kepada usahawan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu merencatkan aktiviti jualan dan perniagaan. Ia turut memberi kesan kepada usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta koperasi.

“Jadi inisiatif ini amat tepat pada masanya dalam usaha memulihkan semula ekonomi yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pembiayaan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) di Pejabat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) Selangor di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ yang menyenaraikan 40 inisiatif di bawah tiga teras iaitu memperkasa rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, menerusi pelan tersebut, sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk Pembiayaan Mikro Penjana melalui Tekun Nasional yang berada di bawah MEDAC dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Dari segi agihan peruntukan ini pula ia masih belum diputuskan, namun saya berharap sebahagiannya iaitu RM200 juta dapat disalurkan kepada Tekun Nasional untuk kita agihkan kepada usahawan yang terjejas.

“Tekun Nasional mempunyai cawangan di seluruh negara dan ia dapat memastikan sumber kewangan yang disalurkan kerajaan sampai kepada golongan sasaran,” katanya. – SINAR HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat