Muhyiddin jawab saman Ahmad Zahid tentang campur tangan kes mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan sejumlah fail yang banyak berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.

Menerusi dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 26 April lepas, Muhyiddin, 74, mendakwa Ahmad Zahid, 69, telah membuat permintaan tersebut selepas menghadiri mesyuarat di kediaman bekas perdana menteri itu.

“Selepas saya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, satu mesyuarat telah diadakan di kediaman saya bagi membincangkan, antara lain, pembentukan Kabinet baru.

“Beberapa individu telah menghadiri mesyuarat itu termasuk plaintif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Hadi Awang. Selepas mesyuarat berakhir, plaintif meminta untuk bercakap dengan saya secara peribadi dan saya telah meminta Azmin untuk turut serta.

“Ketika perbincangan, beliau telah menunjukkan sejumlah besar fail yang dibawa ke mesyuarat itu.

“Apabila saya tanya kenapa dia bawa fail itu, dia kata fail itu ada kaitan dengan kes jenayah terhadapnya yang didakwa mempunyai motif politik, dia kata dia tak bersalah dan minta bantuan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi yang difailkan oleh Ahmad Zahid dalam saman fitnah berhubung dakwaan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah meminta bantuan Muhyiddin untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes mahkamahnya.

Muhyiddin juga mendakwa apabila mendengar permintaan itu, beliau telah memaklumkan plaintif bahawa beliau tidak boleh dan tidak akan campur tangan dalam prosiding mahkamah serta menasihati Ahmad Zahid untuk membela dirinya jika beliau benar-benar tidak bersalah.

Menurut Muhyiddin, beliau dimaklumkan oleh Abdul Hadi bahawa sebelum mesyuarat itu, plaintif telah bertemu dengan Abdul Hadi dan turut menunjukkan dokumen terbabit selain menyatakan bahawa dia tidak bersalah.

“Bagaimanapun, Abdul Hadi memberitahu plaintif bahawa tujuan mesyuarat itu diadakan di kediaman saya ialah untuk membincangkan hal ehwal kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata tiada sebab untuk Ahmad Zahid menunjukkan fail terbabit kepadanya dan membuat permintaan itu melainkan ia bertujuan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah terhadap plaintif.

Muhyddin turut menafikan bahawa kenyataan yang dibuatnya semasa kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Mersing iaitu di pekarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16 Feb lepas adalah palsu atau berbaur fitnah atau mempunyai niat jahat.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa permohonan inter-parte untuk mendapatkan perintah injunksi oleh anak guamnya dalam kes saman fitnah terhadap Muhyiddin akan didengar pada 25 Mei ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff melalui prosiding dalam talian.

Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

Plaintif juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Turut diminta adalah perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil ‘Perikatan Nasional,’ YouTube Astro AWANI dan KiniTV.

Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

Ahmad Zahid menegaskan kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu, bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya. Ahmad Zahid juga mendakwa kenyataan fitnah berkenaan dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

– Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,503FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat