Soo Wincci bergelar Profesor Madya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Minat dalam bidang seni dan belajar dalam bidang diminati sudah sebati dalam jiwa model, penyanyi, pelakon dan pengacara, Dr Soo Wincci.

Wincci kini mencipta sejarah apabila menjadi Miss World Malaysia pertama dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang muzik.

Malah, pelantikannya melayakkannya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) pada 1 April lalu.

“Orang selalu kaitkan 1 April dengan usikan ‘April Fool’. Namun, tarikh itu secara rasminya saya dilantik sebagai Profesor Madya. Bermula ratu cantik, terbang ke sana sini demi menuntut ilmu dan menimba pengalaman.

“Akhirnya, langkah saya ke alam profesor pula. Saya kini menjadi pensyarah mengajar penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dalam subjek produksi muzik dan perniagaan.

“Saya mengajar dalam 70 hingga 80 pelajar yang semuanya dalam golongan B40,” katanya kepada BH Online.

Wincci berkata, setakat ini, jadual tugasan sebagai pensyarah tidak mengganggu komitmen lain.

“Saya hanya akan terbang ke Valencia, Sepanyol pada cuti semester atau selepas selesai peperiksaan. Saya akan mengajar untuk sesi virtual sekiranya berada di lokasi negara lain.

“Saya mengajar hampir setiap hari di UiTM, kecuali Sabtu dan Ahad. Jadi, bolehlah fokus minat sebagai artis dan kerja produksi,” katanya.

 

Soo Wincci mencipta sejarah apabila menjadi Miss World Malaysia pertama dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang muzik. - Foto IG Soo Wincci
Soo Wincci mencipta sejarah apabila menjadi Miss World Malaysia pertama dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang muzik. – Foto IG Soo Wincci

 

Katanya, baki pengajian doktor falsafah (PhD) kedua dalam bidang produksi artistik hanya berbaki satu sesi latihan industri.

“Saya sasarkan lapan PhD sebenarnya. Sekarang, baru dua. PhD ketiga saya berkemungkinan ambil jurusan undang-undang antarabangsa. Cuma, belum tahu universiti manakah nak teruskan,” katanya.

Wincci berkata, dia pulang ke Malaysia sejak Mac lalu.

“Sekembalinya ke tanah air, saya perlu menjalani tempoh kuarantin. Kemudian, saya terbang ke Nepal selama empat hari kerana terikat dengan kerja tanggungjawab sosial bagi pertukaran pelajar dan pendidikan.

“Saya turut ditawarkan menjadi pensyarah di Nepal untuk mengajar subjek kejuruteraan kimia, namun saya tolak. Ikutkan sebelum ‘lompat’ ke bidang undang-undang dan seni, saya mempunyai asas dalam kejuruteraan kimia,” katanya.

Penyanyi lagu Terus Teranglah itu berkata, dia bersyukur aturan masa cantik kerana dapat berpuasa sebulan di Malaysia.

“Ini tahun ke-11 saya berpuasa. Tiga tahun sebelum ini, saya berpuasa di Sepanyol.

“Dapat juga lepas rindu berbuka puasa dan bersahur di negara sendiri. Dan tentunya amalan berpuasa mengajar saya bukan setakat menahan lapar dahaga, tetapi bersabar,” katanya yang juga Ikon Islamic Relief Malaysia.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat